Kuching City FC memulakan kempen Piala Shopee ACC 2026-27 dengan satu mata selepas terikat 2-2 menentang wakil Singapura, Tampines Rovers dalam aksi di Kuching malam tadi.

The Cats terlebih dahulu ketinggalan selepas Yositaka Furusawa membuka jaringan pada minit ke-13, sebelum Kuching City terpaksa menunggu sehingga penghujung permainan untuk mendapatkan gol penyamaan.

Kuching City yang diperkuatkan beberapa pemain berpengalaman termasuk Safawi Rasid dan Ajdin Mujagic cuba mencipta ancaman sejak awal permainan, namun usaha mereka belum membuahkan hasil.

Tampines Rovers kemudian mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan tuan rumah apabila Furusawa menyudahkan peluang hasil bola yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh Gabriel Peres.

Ketinggalan 0-1, Kuching City terus mencari jalan untuk memecahkan benteng Tampines, namun keputusan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan dengan aksi serangan balas silih berganti, tetapi Kuching City masih gagal menemui jaringan penyamaan meskipun semakin banyak menguasai permainan.

Kebangkitan The Cats akhirnya tiba menerusi Gabriel Peres yang menebus kesilapannya sebelum ini apabila menjaringkan gol penyamaan pada penghujung babak kedua.

Namun, Tampines kembali di depan apabila Koya Kazama meledak gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-88, sekali gus meletakkan Kuching City dalam keadaan sukar.

Ketika kemenangan Tampines hampir pasti, Gabriel Peres sekali lagi muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memastikan Kuching City menamatkan aksi pembukaan dengan keputusan 2-2.