Kredit Gambar: MASOC 2027

PERSIAPAN skuad bola sepak negara bagi menghadapi Sukan SEA 2027 bakal dipergiatkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan pencapaian pingat lebih baik apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, perbincangan awal mengenai perancangan pasukan sudah dimulakan dengan beberapa program sedang dirangka bagi memastikan skuad kebangsaan berada pada landasan tepat menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada September 2027.

Menurutnya, bola sepak dijangka sekali lagi menjadi antara acara tumpuan utama, justeru peluang beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pasukan negara.

Bagi mencapai sasaran tersebut, FAM merancang mengatur beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa serta program pendedahan di luar negara bagi meningkatkan daya saing pemain sebelum kejohanan bermula.

“Kita mahu memastikan kali ini, jika boleh, kita mampu memperoleh pingat yang lebih baik kerana bola sepak sentiasa menjadi sukan yang sangat penting,” katanya.

Kim Swee berkata, perlawanan persahabatan berkenaan dijangka bermula seawal tahun depan dan diteruskan sehingga menjelang Sukan SEA, namun senarai pasukan lawan masih belum dimuktamadkan.

Selain itu, skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara turut mempunyai dua kejohanan penting sebagai medan persiapan, iaitu kelayakan Olimpik yang dijadual berlangsung pada Jun serta kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Julai.

Kedua-dua pertandingan itu dilihat sebagai peluang penting untuk menilai kemampuan pemain, memperkemas taktikal serta membina keserasian pasukan sebelum menghadapi cabaran di Sukan SEA 2027.

Perancangan FAM bukan hanya tertumpu kepada skuad lelaki, sebaliknya turut merangkumi pasukan kebangsaan wanita dan futsal sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penyertaan Malaysia dalam keseluruhan acara bola sepak pada temasya berkenaan.

Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, FAM berharap program latihan, pendedahan antarabangsa dan persiapan kompetitif yang dirancang mampu diterjemahkan kepada pencapaian lebih membanggakan buat bola sepak negara di Sukan SEA 2027.