SPEEDY Tigers akhirnya beroleh kemenangan pertama dalam saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, selepas mengatasi Mesir 4-1 pada Sabtu.

Kemenangan yang cukup signifikan itu hadir selepas skuad negara tewas sekali dan seri sekali, selain menghuni tangga terbawah liga round robin sebelum pertemuan antara kedua-dua pasukan.

Jurulatih skuad kebangsaan A Arul Selvaraj menyifatkan kemenangan pertama skuad negara itu dibantu faktor kemahuan yang tinggi daripada pemain.

“Saya rasa kunci kemenangan kita hari ini adalah disiplin dan kemahuan, tapi tetap ada ruang untuk kita perbetulkan..

“Pada perlawanan tadi, penyerang lebih berkemahuan melakukan jaringan dan mereka lebih selesa bermain. Selama ini memang saya tekankan ‘enjoy, work hard and dicippline on execution’.

“Kita jaringakan dua gol pada suku keempat membuktikan kemahuan tinggi dan barisan penyerang berkerja keras,” kata Arul.

Kemenangan 4-1 ke atas Mesir adalah hasil disiplin dan kemahuan tinggi di kalangan pemain-Arul Selvaraj

Pada perlawanan itu, skuad negara memperoleh gol menerusi dua jaringan Shelo Silverius dan masing-masing satu gol Firhan Ashari dan Amirul Azahar, manakala gol saguhati Mesir dijaringkan Mahmoud Mamdouh.

Hasil kemenangan itu, Malaysia kin melonjak dari kedudukan tercorot ke kedudukan ketiga liga dengan empat mata, sama dengan Mesir namun skuad negara tiada deficit gol berbanding Mesir.

Kemenangan pertama ke atas Mesir dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah, melonjakkan pasukan negara ke kedudukan ketiga

Korea Selatan yang menang 2-1 ke atas Pakistan petang tadi, mendahului saingan dengan 10 mata hasil 3 kemenagnan dan satu seri.

Jepun yang mengatasi Afrika Selatan 4-2 lewat petang tadi, menghuni tangga kedua dengan tujuh mata hasil dua kemenangan satu seri dan satu kalah.

Esok (Ahad) sepatutnya hari berehat namun Malaysia dan Afrika Selatan akan turun berentap di Stadium Hoki Taman Daya pada jam 5 petang, menyambung aksi yang ditunda  pada Jumaat berikutan hujan lebat.