PENGENDALI skuad hoki kebangsaan, A. Arul Selvaraj mahu rakyat Malaysia memberikan sokongan penuh kepada pasukannya pada perlawanan terakhir menentang Jepun pada perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 di Piala Dunia Hoki Odisha 2023.
Malaysia yang kecewa selepas dikejutkan Afrika Selatan 6-3 pada perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 kini akan turun dengan misi mencari kemenangan bagi mengakhiri kempen Piala Dunia dengan nota gembira.
Para pemain dan barisan kejurulatihan juga sudah mengadakan perbincangan sesama sendiri bagi mencari sebab kekalahan dan juga mahu mengelak melakukan kesilapan yang sama pada perlawanan Sabtu.

“Kita telah mengadakan sesi perbincangan dengan pemain dan para pemain juga telah berbincang sesama sendiri dan kesimpulannya semua perlu mengambil tanggungjawab individu dan membuat persiapan individu dari segi mental dan emosi untuk menghadapi Jepun.
“Ini disebabkan semua yang terlibat perlu mengambil tanggungjawab sendiri untuk memperbaiki diri sendiri bagi menghadapi perlawanan ini kerana walaupun kita pernah mengalahkan Jepun, tetapi di peringkat Piala Dunia ini tidak ada perlawanan yang mudah dan Jepun juga mahu mengakhiri kempen dengan kemenangan.
“Kita harus turun dengan motivasi lebih tinggi untuk memenangi perlawanan terakhir di Piala Dunia ini untuk membawa pulang semangat yang baik ke Malaysia untuk meneruskan latihan dan berharap semua rakyat Malaysia memberikan sokongan kerana tidak ada seorang pun yang mahu kalah dan mereka bermain untuk menang.
FIH Odisha Hockey Men’s World Cup 2023
13th – 16th Classification
Saturday – 28 Jan 2023
Malaysia vs Japan
2.00 PM (Malaysia Time)#MalaysianHockeyConfederation #MalaysianTigers #MalaysianHockey #HWC2023 #HockeyEquals #HockeyInvites pic.twitter.com/II2yXJYode
— MHC (@hockeymalaysia) January 26, 2023
“Mereka telah mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan sebelum ini dan semalam adalah satu perlawanan yang kurang memuaskan dan ini bukanlah petanda bahawa mereka bukanlah pasukan yang baik. Skuad ini masih dalam fasa pembinaan dan kita tahu kita akan semakin kuat dan mahu segera lupakan kekalahan semalam,” jelas Arul.
Malaysia yang dilihat gagal mengawal emosi ketika menentang Afrika Selatan perlu bangkit dengan mental dan emosi yang lebih kental bagi meraih kemenangan ke atas Jepun untuk memastikan mereka mengakhiri kempen Piala Dunia kali ini dengan kemenangan.