SRI Pahang FC terus unggul dengan rekod tanpa kalah musim ini selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam aksi derbi Liga Super di tempat lawan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat.
Pada awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dengan tandukan Ivan Mamut minit ke-12 serta Kpah Sherman minit ke-21 diselamatkan penjaga gol lawan.
TFC dihidangkan peluang terbaik pada minit ke-27 apabila Hakimi Abdullah melakukan voli berpunca lambungan Jordan Mintah namun tepat ke dakapan Izham Tarmizi Roslan.

Kegagalan pemain TFC mengeluarkan sepakan percuma Stefano Brundo membawa padah dengan Sherman mudah menolak masuk bola untuk gol pertama pelawat minit ke-31.
Kelebihan Sri Pahang itu tidak bertahan lama selepas gerakan Liridon Krasniqi dan Adisak Kraisorn disudahkan Mamut pada minit ke-39 sekaligus mengikat kedudukan 1-1.
Aksi makin rancak disajikan pada babak kedua bermula tandukan Sherman (m-39) disusuli percubaan jauh Habib Haroon (m-51) yang ditumbuk keluar Izham Tarmizi.
TFC nyaris dikejutkan Sri Pahang mujur bola tolakan John Glassock dikeluarkan Alif Zakaria di atas garisan gol ketika Mohd. Suhaimi Husin sudah tertewas pada minit ke-58.

Tuan rumah perlu menyalahkan diri sendiri selepas peluang keemasan Mamut minit ke-60 serta rembatan Sony Norde dari dalam kotak seminit kemudian gagal menemui sasaran.
Skuad Tok Gajah kemudian mengambil kesempatan untuk kembali di depan hasil percubaan luar kotak penalti oleh Nor Azam Azih untuk menjadikan kedudukan 2-1 minit ke-68.
Kegagalan menyudahkan deretan peluang terhidang pada hujung permainan melalui Mamut dan Norde sehingga wisel penamat memaksa TFC akur tumpas buat kali pertama di gelanggang sendiri.