SUSULAN isu antara Pesuruhjaya Sukan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Suhardi Alias mempertahankan dirinya dan enggan tunduk kepada desakan supaya beliau membuat permohonan maaf.
Malah, desakan Timbalan Presiden MOM merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin itu dijawab dengan bidasan.
“Mengenai cadangan Datuk Hamidin untuk memohon maaf, ramai warga sukan berpendapat wajar kepimpinan badan induk sukan bola sepak kebangsaan itu, memohon maaf kepada ahlinya, MOM dan rakyat Malaysia kerana gagal mencapai sasaran pingat emas yang dijanjikan di Sukan Sea 2023 di Kemboja dan juga defisit kewangan yang dikatakan mencapai RM7 juta dalam laporan kewangan badan itu.
“Ini melibatkan soal tatakelola kewangan yang baik, integriti dan akauntabiliti yang merupakan asas tadbir urus yang baik dalam sukan,” kata Suhardi dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.
ARTIKEL BERKAITAN : Persatuan Sukan Kebangsaan bidas Suhardi

Kenyataan media daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Malah beliau meminta FAM serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar memperbaiki reputasi persatuan terbabit yang gagal mencapai sasaran di Sukan Sea Kemboja, mengelak daripada menyalahkan atlet dan jurulatih.
Dalam pada itu, Suhardi mengesahkan laporan polis sudah dibuat bagi memastikan pihak bertanggungjawab menyebarkan rakaman audio perbincangan tertutup PSJ bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dikenakan tindakan sewajarnya.
Jelas Suhardi, kandungan perbincangan tertutup itu tidak sepatutnya disebarkan kepada umum sehingga menimbulkan salah faham terutamanya perbualan yang berada di luar konteks.
“Saya mengadakan satu perjumpaan tertutup bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan pendamaian pada 14 November lalu.

Suhardi tegaskan MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan (Akta 576).
“Sebagai makluman MESF merupakan pertubuhan sah yang berdaftar dengan PJS manakala MEGA pula berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Ini merupakan faktor utama sebab PJS memberikan masa kepada MEGA untuk berbincang agar pertubuhan ini boleh menjadi ahli bersekutu MESF dalam mengakhiri kemelut pendaftaran dan keahlian antarabangsa antara kedua-dua persatuan sukan ini,” katanya, yang menyifatkan penyebaran rakaman audio separuh-separuh merupakan budaya tidak sihat.
Tambah Suhardi lagi, pihaknya percaya penyebaran audio separuh-separuh selepas perbincangan itu juga menyalahi perkara di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Timbalan Presiden MOM / Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin gesa Suhardi mohon maaf kepada MOM.
“Saya percaya menjadi satu kesalahan menyebarkan audio separuh-separuh perbincangan tertutup untuk tatapan umum bagi membangkitkan keresahan dalam kalangan ahli MOM.
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Mengulas lanjut Suhardi juga memaklumkan bahawa MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan (Akta 576).
ARTIKEL BERKAITAN :
Batal pendaftaran, disamakan dengan Israel… MOM minta penjelasan PJS
Suhardi buat laporan polis, penyebaran keratan rakaman berbaur fitnah
“Ini bermaksud MOM juga tertakluk kepada akta ini yang mana peruntukan ini terpakai bagi badan sukan adalah sama terpakai bagi MOM dan sebutan mengenai badan sukan dalam peruntukan itu termasuk sebutan mengenai MOM.
“Saya juga ingin menasihatkan MOM supaya mematuhi semua peraturan dan akta berkenaan agar pembangunan sukan di bawah gabungannya dapat dipertingkatkan pada masa depan.
“MOM juga perlu akur kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta 576 bahawa mereka tidak kebal dari tindakan undang-undang negara.
“Memandangkan perkara ini akan menjadi siasatan pihak berkuasa, saya berharap semua pihak tidak lagi membuat kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis dan mengeruhkan keadaan,” katanya.