HAMPIR 200 anak-anak johor yang menyertai Klinik Netball Super League (Klinik NSL 2025) yang diadakan buat pertama kali di luar lembah klang ini di Velodrome Iskandar Puteri baru-baru ini.
Kehadiran pemain bintang dari Johor Jewels yang juga merupakan pemain kebangsaan seperti Fariha Razak, An Najwa Azizan, Pow Mei Foong dan Syafazliyana Mohd Ali turut memeriahkan lagi program pembangunan bakat yang diadakan ini. Selain mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada jurulatih bertauliah, peserta juga dapat beramah mesra dan berpeluang bermain bersama idola dan pasukan Johor Jewels dalam perlawanan persahabatan yang diadakan.
Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, “ Ini adalah kali kedua Klinik NSL telah diadakan selepas Klinik NSL di Sports Arena, Uniten. Penyertaan untuk Klinik NSL di Johor amat memberangsangkan dimana anak-anak Johor dari setiap daerah bersemangat untuk hadir seawal jam 7 pagi bersama ibu-bapa ke Klinik NSL meskipun jauh.

“Selepas ini, satu lagi Klinik NSL akan diadakan di Stadium Kiara, Bukit Kiara pada 15 Februari ini. Ini adalah permulaan dan mungkin selepas ini Klinik NSL akan menjelajah ke negeri-negeri yang lain pula pada musim akan datang.”katanya.
Jelasnya lagi, Astro sentiasa memperkasakan program akar umbi dan pembangunan sukan demi memupuk semangat dan minat generasi muda untuk aktif dalam bidang sukan seperti sukan bola jaring ini.
Selain memenangi barang-barang eksklusif dari penaja NSL seperti Asics dan, peserta yang hadir juga berpeluang mendapat tiket percuma untuk menyaksikan kehangatan dan saingan NSL yang berprestij ini, sementara peserta terbaik yang dipilih akan beraksi di dalam gelanggang sebenar NSL yang akan disiarkan secara langsung
Klinik NSL yang mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) ini turut akan diadakan di sekolah terpilih bagi menghangatkan lagi kejohanan NSL musim keempat yang telah pun membuka saingan pada 1 hingga 23 Februari 2025 ini.