Kredit Gambar: MHC
Jerman ternyata dalam kelas berbeza jika dibandingkan dengan The Speedy Tigers berdasarkan pencapaian masing-masing di pentas dunia seperti turun selaku juara bertahan edisi Piala Dunia 2026 kali ini.
Namun, skrip berbeza jika melihat pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Speedy Tigers menang 4-2 dalam siri Ujian Rasmi pada 2019.
Ia satu-satunya kemenangan Malaysia ke atas Jerman dalam lapan pertemuan sejak Sukan Olimpik 1964, namun skuad negara berjaya memberi tentangan sengit ketika tewas 3-5 pada Piala Dunia 2018.
Realitinya tidak mudah tetapi tiada yang mustahil buat skuad bimbingan Brendon Carolan untuk mengulangi pencapaian tujuh tahun lalu dengan menewaskan Jerman dalam aksi pertama Kumpulan B di Arena Hoki Belfius pada 15 Ogos ini.
Sebagai rekod, Jerman menjulang gelaran Piala Dunia ketiga mereka pada edisi 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India dengan menewaskan Belgium, sekali gus menamatkan 17 tahun bergelar juara dunia.
Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila meraih pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana ia adalah pencapaian terbaik selepas dua edisi sebelum itu, Rio 2016 dan Tokyo 2020 berakhir di tempat ketiga.
Pasukan diberi gelaran Honamas itu kemudiannya menebus kekalahan semasa final Sukan Olimpik Paris 2024 di tangan Belanda, dengan mencatat kemenangan ke atas lawan itu untuk menjuarai Kejohanan Eropah 2025.
Bagaimanapun, prestasi pasukan No.5 dunia itu untuk tahun ini tidak begitu memuaskan apabila sekadar menamatkan saingan Liga Pro FIH 2025-2026 di tempat keenam.
Ketua jurulatihnya, Andre Henning berharap pasukannya yang dianggap salah satu skuad termuda di Piala Dunia 2026 dengan purata umur 25 tahun, dapat memberikan persembahan terbaik.
“Walaupun lima pemain akan membuat penampilan pertama di Piala Dunia tetapi 14 lagi pernah memenangi gelaran buat kami. Saya mengharapkan kombinasi ini mampu menghadirkan kejayaan buat pasukan,” katanya.