AARON Chia-Soh Wooi Yik, mempamerkan aksi “luar biasa” ketika menempah kekalahan pertama kepada pasangan dari Taiwan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Meskipun berbekalkan rekod 100 peratus kemenangan daripada dua pertemuan lampau, aksi dipamerkan Aaron dan Wooi Yik jauh di bawah tahap prestasi sebenar, apabila mengalah dua set berturut-turut 14-21, 18-21 dalam masa 47 minit.

“Sebenarnya hari ini (prestasi) masih kurang dan gagal untuk beri tekanan kepada mereka (lawan). Sebahagian besar set pertama itu kami memberikan mereka banyak mata mudah menerusi beberapa kesilapan.

“Buat masa sekarang kami perlu lebih fokus (ke Terbuka India) selepas ini,” katanya, ditemui selepas tamat perlawanan.

Vivian Hoo mengakhiri kerier profesionalnya dengan kekalahan di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2025. Pemain itu bergandingan dengan Lim Chiew Sien akur tewas kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Sementara itu, Wooi Yik menegaskan bahawa dia dan Aaron telah memberikan prestasi terbaik.

“Kami tidak cukup bersabar untuk mematikan bulu tangkis, akhirnya mengulangi kesilapan demi kesilapan yang tidak perlu,” kata Wooi Yik.

Sementara itu, beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut tewas apabila ditunjuk jalan keluar oleh pilihan pertama dari China, Liu Sheng Siu-Tan Ning 21-6, 21-5.

Terbuka Malaysia 2025 menjadi kejohanan terakhir buat Vivian yang mengesahkan persaraannya.

Dalam pada itu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengekalkan rentak kecemerlangan, selepas menyingkir pilihan kelapan dari Taiwan, pada pusingan kedua.

Kemenangan gandingan nombor 14 dunia itu ke atas Jhe Hui-Po Hsuan, 21-15, 21-13.

Biarpun berdepan pemain pilihan, namun Wei Chong-Kai Wun yang menerima sokongan padu penyokong sendiri mempamerkan aksi cukup membanggakan sehingga berjaya meletakkan beregu lawan dalam keadaan tertekan.

“Sebenarnya perlawanan ini tidak mudah tetapi kami sudah melakukan persiapan dengan baik. Selain itu, faktor nasib juga membantu, mungkin ada bantuan angin.

“Saya tidak mahu fikir banyak sangat kerana ini adalah tahun baharu, jadi kami hanya mahu berikan yang terbaik. Tahun lepas kami berdepan prestasi tidak menentu, ada naik turun,” katanya, ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Menjelang aksi suku akhir esok, Wei Chong-Kai Wun akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis.

Turut mara ke suku akhir adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengatasi wakil India, Satish Kumar-Aadya Variyath 21-10, 21-17.

Justeru, mereka akan membuat perhitungan suku akhir menentang pasangan China, Cheng Xing-Zang Chi.