BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub kembali menggalas tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan tokoh berpengalaman luas itu diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan rasmi, dengan menyifatkan Abdul Rashid sebagai figura penting dalam pembangunan sukan negara menerusi pengalaman lebih 37 tahun dalam pentadbiran MSN.
“Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan utama dalam MSN dan turut memainkan peranan penting dalam kejayaan penganjuran Sukan SEA 2017, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah,” menurut kenyataan KBS.

Abdul Rashid Yaakub menerima pelantikan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh
Malaysia dijadual menjadi tuan rumah temasya dwitahunan Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 pada 2027, dengan Sarawak, Pulau Pinang dan Johor tampil sebagai negeri tuan rumah bersama untuk beberapa jenis sukan.
Sebagai langkah awal, Jawatankuasa Pengelola telah pun ditubuhkan menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu bagi menyelaras segala aspek logistik, teknikal dan operasi menjelang penganjuran temasya tersebut.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA sebanyak enam kali sebelum ini, 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, dengan pencapaian terbaik direkodkan pada edisi terakhir apabila muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas.