KAPTEN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias menggesa rakan sepasukan agar mengekalkan momentum dan disiplin apabila sekali lagi berhadapan Kawasaki Frontale dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Ahad.

“Sememangnya kami dipersiapkan untuk menghadapi kempen ACL ini dan kami mahu mencapai sesuatu darinya. Kami kini di landasan yang betul dan bekerja keras melakukan yang terbaik dalam kempen kali ini.

“Sudah tentu saya mahukan rakan sepasukan saya mengekalkan momentum dan disiplin seperti perlawanan sebelum ini. Saya juga berharap agar barisan pertahanan dapat mengekalkan persembahan mereka,” jelasnya pada sidang media pra perlawanan, Sabtu.

Ditanya sama ada dia bersedia untuk menghadapi percubaan jarak jauh daripada pemain-pemain Kawasaki, Farizal memberitahu segalanya sudah dijangka termasuk aksi bintang Thailand, Chanatip Songkrasin.

“Apabila mereka gagal melepasi pertahanan kami, mereka pastinya akan melakukan percubaan dari luar kotak. Kami sudah menjangkakan perkara ini dan sudah bersedia. Saya juga sentiasa berkomunikasi dengan barisan pertahanan saya.

“Chanatip adalah pemain yang walaupun kecil tetapi mempunyai kepantasan dan teknikal yang baik. Kita jangan berikan sebarang ruang kepada beliau dan kita yakin akan mendapat keputusan yang baik.

“Saya berharap agar penyokong JDT dapat hadir ke stadium dan berikan sokongan kepada Harimau Selatan. Ini adalah peluang terbaik untuk JDT Family mencipta sejarah gemilang,” tambah pemain berusia 35 tahun itu.

Farizal Marlias kembali diturunkan pada perlawanan menentang Kawasaki tempoh hari selepas tidak diturunkan dalam dua perlawanan awal akibat kecederaan dan digantikan oleh Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi yang beraksi cemerlang.