Pengurus Paris Saint-Germain, Luis Enrique memuji keyakinan tinggi skuadnya selepas mereka mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan agregat 4-0 ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

Juara bertahan itu menundukkan Liverpool 2-0 dalam aksi timbal balik suku akhir di Anfield hasil dua jaringan penyerang Ousmane Dembele pada separuh masa kedua.

Walaupun diasak hebat tuan rumah terutama selepas rehat, PSG tetap mempamerkan disiplin tinggi untuk mempertahankan kelebihan agregat yang dibina pada perlawanan pertama di Paris.

Luis Enrique mengakui mempertahankan kejuaraan Eropah adalah tugas sukar, namun percaya pasukannya layak berada dalam kelompok elit berdasarkan prestasi konsisten musim ini.

“Sukar untuk mempertahankan Liga Juara-Juara, kami tahu itu, tetapi kami berada di sini sekali lagi dan perlu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” kata Enrique.

Beliau turut menolak tanggapan PSG memiliki ‘aura’ sebagai juara bertahan, sebaliknya menegaskan kejayaan mereka berpunca daripada keyakinan dan kepercayaan tinggi dalam kalangan pemain serta sokongan penyokong.

Menurutnya, pendekatan Liverpool yang terpaksa memburu gol selepas ketinggalan memberi ruang kepada PSG untuk melancarkan serangan balas berbahaya, sekali gus membantu mereka mengawal permainan.

“Mereka perlu mengambil banyak risiko dan itu memberi peluang kepada kami untuk menyerang balas. Selepas gol pertama, kami mengurus permainan dengan sangat baik,” katanya.

PSG kini menunggu pemenang antara Real Madrid dan Bayern Munich di separuh akhir, dengan Luis Enrique menegaskan pasukannya bersedia menghadapi mana-mana lawan dalam usaha mempertahankan kejuaraan.