Penyerang Barcelona, Raphinha berang dengan mutu pengadilan selepas pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah apabila tewas 3-2 secara agregat kepada Atletico Madrid.
Barcelona menang 2-1 dalam aksi timbal balik, namun ia tidak mencukupi untuk mengubah keputusan keseluruhan, tambahan pula mereka menamatkan kedua-dua perlawanan dengan 10 pemain.
Raphinha, yang tidak beraksi kerana kecederaan dalam kedua-dua perlawanan, menuduh pengadil Clement Turpin dan Istvan Kovacs sebagai punca utama kegagalan pasukannya.
“Bagi saya, ini adalah satu rompakan, bukan sahaja perlawanan ini tetapi juga perlawanan pertama.
“Saya rasa pengadilan sangat teruk; keputusan yang dibuat sukar dipercayai… saya benar-benar mahu faham kenapa mereka seperti takut Barcelona akan menang,” kata Raphinha.
Katanya, situasi itu memaksa Barcelona bekerja lebih keras daripada biasa untuk cuba memenangi perlawanan.
“Memang sukar apabila anda rasa perlu bekerja tiga kali ganda lebih keras untuk menang,” katanya.
Dalam aksi pertama, Kovacs melayangkan kad merah kepada Pau Cubarsi selepas semakan VAR, manakala dalam perlawanan kedua, Turpin turut mengambil tindakan sama terhadap Eric Garcia.
Barcelona sebelum ini turut mengemukakan bantahan rasmi kepada UEFA berhubung satu insiden yang didakwa sepatutnya diberikan penalti, namun bantahan itu ditolak. – REUTERS
Sumber Gambar: REUTERS