NAGA API mengambil langkah awal sebelum secara rasmi berkhidmat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), apabila mengadakan pertemuan dengan pemain beregu lelaki negara, yang menyertai Kejohanan Badminton Indonesia Masters.

Herry Iman Pierngadi yang dilantik sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara bermula bulan depan, mengundang pemain beregu lelaki, menghadiri makan malam bersama keluarganya di kediaman, di Jakarta, kelmarin.

Mengambil pendekatan santai, untuk saling mengenali keperibadian pemain dan jurulatih, legenda Indonesia itu membuka ruang buat pemain mengenali dirinya dan keluarga.

“Ini kali pertama saya bertemu pemain beregu lelaki Malaysia, jadi saya ambil peluang ini untuk mengenali mereka. Saya jemput mereka makan malam bersama keluarga saya. Tiada perbincangan khusus, hanya untuk saling mengenali,” kata Herry, yang tidak sabar menunggu detik rasminya melatih pemain negara.

Antara pemain yang hadir ialah pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, dan Aaron Tai-Kang Khai Xing.

Para pemain ini berada di Jakarta untuk menyertai Masters Indonesia yang bermula semalam.

Turut hadir pada pertemuan itu, jurulatih beregu lelaki negara, Muhammad Miftah, yang juga berasal dari Indonesia.

Herry, 63, turut mengambil kesempatan, meninjau pemain negara di gelanggang latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut.

“Saya hanya melihat mereka di gelanggang latihan, bukan di gelanggang kejohanan. Tugas rasmi saya hanya bermula pada 1 Februari nanti,” tambahnya.

Badan badminton negara (BAM) sebelum ini mengumumkan pelantikan Herry sebagai ketua jurulatih beregu lelaki yang baharu, menggantikan Tan Bin Shen yang kini melatih di Hong Kong.

Pendekatan Herry ini menunjukkan kesungguhannya untuk memahami dinamik pasukan lebih mendalam sebelum memulakan tugas rasmi, dengan harapan membawa kejayaan lebih besar kepada skuad beregu lelaki negara.