SPORTING Kansas City mengumumkan perlawanan pusingan pertama Piala Juara-Juara Concacaf menentang Inter Miami yang dijadualkan pada Selasa telah ditunda ke hari Rabu berikutan suhu beku yang melampau.

Kedua-dua pasukan sepatutnya membuka kempen mereka dalam kejohanan kelab benua itu, dengan aksi timbal balik dijadualkan berlangsung minggu depan di Chase Stadium, Miami.

Namun, Kansas City bakal mengalami kesejukan melampau dengan tiupan angin dan salji yang menyebabkan suhu turun ke angka satu digit pada Selasa. Ketika waktu sepak mula pada pukul 7 malam waktu tempatan, suhu dijangka mencecah -18 darjah Fahrenheit, mencipta keadaan yang sangat sukar buat para pemain dan penonton.

“Kami tahu kedua-dua kelab sedang berbincang. Kami masih menunggu sebarang perkembangan baharu. Buat masa ini, perlawanan masih dijadualkan pada Selasa,” kata Javier Mascherano dalam sidang media pada Isnin.

Keadaan cuaca ekstrem ini turut menimbulkan persoalan mengenai ketersediaan Lionel Messi, terutamanya dengan perlawanan pembukaan MLS Miami menentang New York City FC yang bakal berlangsung pada Sabtu.

Messi dijangka akan dikawal minit permainannya sepanjang musim ini, lebih-lebih lagi dengan penyertaan Miami dalam Piala Kelab Dunia FIFA yang dijadualkan pada bulan Jun. Namun, Mascherano mengesahkan bahawa pemain berusia 37 tahun itu akan tetap bermain pada Selasa.

“Dia akan bermain,” kata Mascherano ringkas tanpa memberikan butiran lanjut mengenai jumlah minit permainan yang akan diberikan kepada Messi.

Persoalan lebih besar akhirnya terjawab apabila Concacaf pada Isnin mengesahkan penangguhan perlawanan selepas kedua-dua kelab membuat permohonan rasmi, menurut laporan Miami Herald.

Perlawanan kini dijangka berlangsung pada hari Rabu, di mana suhu tertinggi di Kansas City dijangka meningkat daripada lima darjah kepada sembilan darjah, walaupun suhu terendah akan turun daripada -2 darjah kepada -10 darjah.

Pihak pengurusan Sporting Kansas City pula menegaskan bahawa mereka telah bersedia untuk perlawanan itu tanpa mengira keadaan cuaca.

“Sejuk adalah satu hal, tetapi kita perlu lihat bagaimana salji akan memberi kesan.

“Kami sudah bersedia. Kebimbangan utama kami adalah keselamatan akses untuk peminat datang dan pulang serta memastikan kawasan tempat letak kereta dan laluan pejalan kaki bebas daripada salji.

“Sejuk itu perkara biasa. Pakailah pakaian tebal, bawa selimut, topi. Tiada siapa yang patut terkejut apabila mereka sampai dan mendapati cuaca sangat sejuk,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sporting Kansas City, Jake Reid, kepada Kansas City Star.

Ramalan cuaca menunjukkan bahawa salji akan turun pada Selasa, tetapi tidak pada hari Rabu.