KEKALAHAN 2-0 di tangan Persib Bandung dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) di Gelora Bandung Lautan Api nyata sukar diterima kapten Selangor FC, Faisal Halim, yang mengakui kekecewaan mendalam selepas pasukannya gagal membawa pulang sebarang mata dari Indonesia.

Dalam aksi ketiga Kumpulan G itu, skuad Red Giants turun dengan misi memburu kemenangan sulung, namun segala perancangan musnah selepas tuan rumah berjaya menjaringkan dua gol — masing-masing menerusi Adam Alis dan Andrew Jung — bagi memastikan tiga mata milik mereka di hadapan penyokong sendiri.

“Persib Bandung pasukan yang bagus dan bermain di tempat sendiri, jadi memang bukan mudah. Tapi kami dibolosi dengan dua jaringan yang senang, satu hasil serangan balas pantas dan satu lagi menerusi penalti,” ujar Faisal selepas tamat perlawanan.

Bintang kebangsaan itu mengakui Selangor telah melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan, namun kesilapan mudah di kawasan sendiri menjadi punca utama kegagalan mereka untuk menyaingi keampuhan skuad tuan rumah.

“Bagi saya, kami berusaha keras dan tidak sepatutnya tewas dengan cara sebegini. Sukar untuk saya terima keputusan ini, tapi kami kena belajar dan terus berjuang,” katanya lagi.

Walaupun kecewa, Faisal tetap menzahirkan semangat juang tinggi dengan menyeru rakan sepasukan agar segera bangkit dan menjadikan kekalahan di Bandung sebagai pengajaran berharga menjelang baki aksi kumpulan.

“Untuk masa akan datang, kami perlu belajar sesuatu daripada perlawanan ini. Kami mesti bersatu dan cuba lagi,” tegasnya.

Kekalahan itu meletakkan Selangor di tangga tercorot Kumpulan G tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan, manakala Persib Bandung kekal mendahului dengan tujuh mata.