PENGHAPUSAN banyak kategori berat badan, terutamanya kategori rendah yang diperkenalkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) bermula Jun ini, memberi impak kepada Malaysia dan negara Asia.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, dengan hanya lapan kategori baharu diperkenalkan ianya tidak menutup langsung peluang buat atlet negara, namun setiap kategori lebih kompetitif, namun, kesannya akan dirasakan oleh skuad angkat berat Malaysia di Temasya Glasgow 2026 nanti.
“Saya lihat persaingan amat sengit pasti bagi kategori 60 kilogram (kg) iaitu berat badan paling rendah dalam senarai kategori baharu diperkenalkan IWF, berbanding sebelum ini 55kg.
Semua atlet dari kategori 55kg, 61kg akan bermain dalam kategori baharu, 60kg untuk terus survive dalam sukan ini,” katanya, sambil mengesahkan Muhammad Aniq Kasdan yang memegang rekod kebangsaan kategori 55kg, akan fokus kepada 60kg.
Begitupun, di Sukan Komanwel Glasgow nanti, sandaran PABM tetap terarah kepada Aniq untuk memburu pingat emas, sebagaimana dimenangi badang negara dalam kategori 55kg di Birmingham 2022.
Sementara Muhamad Aznil Bidin yang meraih emas kategori 61kg, tiga tahun lalu, telahpun bertukar ke kategori 67kg sebelum ini, dan bakal menyertai Sukan Komanwel Glasgow dalam kategori baharu, 65kg.
Justeru, Ayub berkata, dalam tempoh waktu yang ada, seramai 9 atlet podium ketika ini akan mengalami pertukaran kategori dan latihan bebanan baharu.
Setelah hanya 10 sukan dipertandingkan di Glasgow tahun hadapan, skuad angkat berat perlu berkerja keras untuk menjadi penyumbang pingat kepada negara.
Untuk rekod, di Temasya Birmingham, angkat berat membawa pulang dua emas (Aniq dan Aznil) dan satu perak (Muhammad Erry Hidayat), manakala di Gold Coast 2018, dua emas dan satu gangsa.