JOHOR Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi memperkenalkan pemain baharu mereka, Anselmo Moraes, bagi memperkukuhkan lagi skuad menjelang fasa penting musim ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran video di media sosial rasmi Johor Southern Tigers, yang memaparkan Anselmo di Stadium Sultan Ibrahim.

“Pemain baharu, selamat datang Anselmo Moraes,” tulis JDT dalam kenyataan rasmi mereka.

Anselmo, seorang pertahanan tengah berpengalaman berusia 35 tahun, menyertai juara Liga Super Malaysia itu selepas meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Wehda, pada Julai 2024.

Sepanjang karier gemilangnya, beliau pernah beraksi untuk beberapa kelab ternama seperti Genoa, Palermo, Al-Nassr, dan Internacional di Brazil.

Kehadirannya menambah kekuatan kepada barisan pertahanan JDT, yang kini turut diperkuatkan dengan tiga bintang Sepanyol yang baru direkrut—Álvaro González, Roque Mesa, dan Jonathan Viera.

Pengurus JDT, Héctor Bidoglio, berharap pengalaman serta kepimpinan Anselmo dapat membantu pasukan menghadapi perlawanan penting menentang Pohang Steelers dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa ini.

FOTO : JST