PERCAYA bahawa setiap kegigihan pasti ada manisnya, dan itu merupakan pegangan okeh skuad sepak takraw negara yang akan terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, dengan meraih pelbagai lagi kejayaan dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
Tekong negara, Syahir Rosdi yang ditemui pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 mendedahkan bahawa dirinya tidak menjangka akan menerima Anugerah Khas daripada pihak penganjur.
Menurutnya, dia dan pasukan hanya fokus memberikan tumpuan kepada tanggungjawab semasa latihan dan juga perlawanan, serta patuh akan setiap perancangan yang diaturkan oleh jurulatih.
“Untuk Anugerah SAM (2023) kali ini kami tidak jangkakan sebab kami hanya fokus pada latihan dan kejohanan. Di Piala Dunia (Sepak Takraw 2024) Alhamdulillah kami juara dua kategori dan selepas itu menyusul rezeki lain seperti anugerah ini.

Syahir Rosdi ketika beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
“Kami sangat menghargai dan berharap selepas kami dapat teruskan perjuangan kami sebagai pemain sepak takraw Malaysia untuk terus melakar sejarah,” kata Syahir ketika ditemui di Hotel Seri Pacific.
Anugerah yang diterima itu juga jelas menjadi suntikan semangat untuk Syahir dan rakan seperjuangan lain untuk terus lakukan yang terbaik.
“Bagi kami, bila ada kemenangan adalah anugerah (ganjaran), kami akan cuba lakar kemenangan dan cuba melakar sejarah lagi. Selepas ini, kami akan ke Piala Raja Thai pada Ogos dan kami tidak akan berhenti di sini kerana kami akan cuba lagi kalau boleh nak lebih daripada itu (kejuaraan demi kejuaraan),” ujar Syahir.
Terdahulu, skuad kebangsaan berjaya meraih dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan ia merupakan satu sejarah apabila dapat menewaskan kuasa besar sukan sepak takraw iaitu skuad Gajah Perang.