PEMANAH recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Zairi mencipta sensasi apabila menjadi atlet yang terbaharu untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Kejayaan gembira itu hadir selepas dirinya berjaya memenangi pingat emas dalam acara individu di Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok.
Pada kejohanan tersebut, Ariana telah melakukan panahan terbaik dengan mata keseluruhan 649 mata dan menguasai tempat pertama pusingan kelayakan.

Ariana bersama jurulatihnya ketika kejohanan. (Sumber Gambar: World Archery)
Aksi Ariana yang memukau itu membolehkannya memecahkan rekod baharu kebangsaan bagi acara recurve wanita 36 anak panah dari jarak 70 meter.
“Kejohanan ini sepatutnya menjadi medan untuk saya mengutip pengalaman, saya langsung tidak menyangka akan dapat menang ataupun layak ke Sukan Olimpik, tetapi apa-apa pun saya tetap bersyukur dan teruja dengan peluang ini.

Ariana dengan pingat emasnya bersama atlet Uzbekistan dan Iran berkongsi podium. (Sumber Gambar: World Archery)
“Ini adalah satu langkah yang besar kerana saya tidak banyak beraksi di kejohanan antarabangsa, jadi mendapat tempat di Sukan Olimpik adalah sesuatu yag besar bagi saya secara peribadi,” kata Ariana.
Ariana tidak berhadapan masalah untuk mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menewaskan pemanah Iran, Yasna Pour Mahani, dalam aksi separuh akhir untuk ke pertarungan akhir.

Antara atlet Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024. (Sumber Gambar: Olympic Council of Malaysia)
Pemanah recurve negara itu terus mencuri tumpuan apabila menewaskan pemanah Uzbekistan, Ziyodakhon Abdusattorova, 7-3 untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.
Selain Ariana, lima lagi atlet telah layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Bertrand Rhodict Lises daripada sukan terjun, Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal) dan Aniq Kasdan (angkat berat).