DARI gelanggang yang gemilang di Tbilisi, muncul satu nama baharu yang mula meniti bibir dunia Dancesport antarabangsa Bernice Iu Weng Tong. Atlet muda berbakat ini mencipta kejutan manis apabila meraih pingat perak dalam kategori Solo Latin Wanita Dewasa pada kejohanan Caucasus Cup 2025 yang berlangsung di Sheraton Grand Palace, Georgia.
Bernice yang membuat penampilan sulung di pentas solo antarabangsa nyata tampil penuh keyakinan dan karisma, sekaligus membuktikan bahawa Malaysia kini bukan sekadar peserta tetapi pencabar utama dalam sukan Dancesport. Persembahannya turut menerima pujian daripada juri dan penonton, meletakkan dirinya di tempat kedua dunia serta mencipta laluan cerah buat kariernya sebagai bintang baharu dalam arena ini.

Bernice dan Cherry menerima anugerah mereka semasa majlis penyampaian hadiah. Dari kiri: Albert Hakobyan, Bernice Iu Weng Tong (Malaysia), Lo Sum Yi Abby (Hong Kong), Lika Kldiashvili (Georgia), Ani Dumbadze (Georgia), Milena Sahakyan (Armenia), Cherry Yeo Xiao Wei (Malaysia)
Turut cemerlang di pentas sama ialah rakan sepasukan Bernice, Cherry Yeo Xiao Wei yang menamatkan saingan di tempat keenam dunia dalam kategori yang sama. Walaupun Cherry berdepan cabaran mengimbangi latihan dan pengajian di London, kedudukannya sebagai ranking No. 2 dunia dengan 856 mata kekal utuh—tanda dedikasi tinggi dan potensi yang belum pudar.
Kejohanan anjuran World DanceSport Federation (WDSF) ini menyaksikan penyertaan lebih 350 atlet dari 33 negara, namun kontinjen Malaysia yang diketuai jurulatih kebangsaan, Chua Zjen Fong, tidak gentar untuk menonjol. Chua, yang juga juara Latin kebangsaan sebanyak 15 kali, memainkan peranan besar sebagai pembimbing dan turut dilantik sebagai pengadil rasmi kejohanan, membuktikan kepakaran Malaysia diiktiraf di peringkat global.

Bukan sekadar Bernice dan Cherry, dua lagi wakil negara—Kimberly Chew Yun Han dan Carmen Yeow Kai Wern—turut menampilkan aksi bertenaga dalam Kejohanan Dunia Junior II Solo Latin. Kimberly menamatkan saingan di tempat ke-42 manakala Carmen di tempat ke-56 daripada 119 peserta, satu pencapaian memberangsangkan yang membuktikan Malaysia memiliki barisan pelapis yang menjanjikan masa depan cerah dalam sukan ini.

Pasukan Malaysia. Dari kiri: Bernice Iu Weng Tong, Kimberly Chew Yun Han, Chua Zjen Fong, Cherry Yeo Xiao Wei, Carmen Yeow Kai Wern
Kejayaan di Georgia ini bukan hanya mencipta sejarah, malah menjadi pembakar semangat menjelang penganjuran WDSF Malaysia Open Dancesport ke-4 pada Julai ini. Bernice, Cherry dan rakan-rakan mereka kini memikul harapan tinggi untuk meneruskan momentum di laman sendiri—dan sekiranya prestasi semasa menjadi petunjuk, Malaysia bakal menjadi tuan rumah yang bukan sahaja bersedia, tetapi digeruni.
Dengan bakat yang menyerlah, bimbingan yang mantap dan sokongan berterusan, Dancesport Malaysia kini berada di landasan tepat untuk menakluk pentas dunia.