CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei muncul pemain badminton negara pertama, melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, selepas mengatasi gandingan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu.

Turun selaku pilihan ketiga di Axiata Arena, mereka tidak mempunyai masalah untuk mengetepikan Ming Che-En Tzu menerusi kemenangan straight set 21-8, 21-14 dalam masa 30 minit.

Malah kemenangan itu, menyemarakkan lagi semangat mereka untuk mara lebih jauh.

“Saya rasa, kami tidak pernah rasa layak ke suku akhir itu sudah menjadi keputusan terbaik… setiap atlet tidak suka alami kekalahan, begitu juga kami.

“Kami akan melakukan rutin seperti yang sepatutnya dan tidak mahu memikirkan mengenai aksi hari esok terbelih dahulu, hari ini kami rehat dan dapatkan pemulihan,” kata Tang Jie.

Begitupun, mereka perlu melepasi cabaran gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito di suku akhir esok sebelum memikirkan perjalanan lebih jauh.

Pasangan Jepun yang berada di ranking ke-14 dunia itu mara selepas menumpaskan gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-17, 21-17 dalam tempoh 42 minit.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei mendahului 3-2 berbanding lawan.