KEJOHANAN Golf Wanita Amatur Malaysia (Malaysian Ladies Amateur Open) kembali mencuri tumpuan apabila edisi ke-39 yang berlangsung di Templer Park Country Club melabuhkan tirainya semalam dengan menyaksikan pemain muda Thailand, Namo Luangnitikul muncul juara keseluruhan.
Berlangsung selama tiga hari penuh debaran dari 29 hingga 31 Julai, kejohanan berprestij yang dianjurkan Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) itu menghimpunkan 89 peserta dari lapan negara ASEAN serta tujuh lagi negara rantau Asia Pasifik — menjadikannya pentas terbaik bakat-bakat muda rantau ini menguji kemampuan dan mengejar pengalaman bertaraf antarabangsa.
Luangnitikul, yang tampil konsisten sepanjang kejohanan, mencatatkan skor 72, 66 dan 74 untuk agregat empat bawah par 212, sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari Malaysia, Foong Zi Yu, dengan kelebihan empat pukulan.

Kejohanan ini turut mendapat suntikan semangat apabila dianjurkan bersempena Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, dengan kerjasama rapat antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) yang menyokong usaha MALGA dalam memperkasa sukan golf wanita.
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, yang hadir menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan trofi kejuaraan, menyifatkan kejohanan ini bukan sekadar pertandingan — malah sebagai jambatan yang mengukuhkan integrasi dan semangat solidariti serantau menerusi diplomasi sukan.
Beliau turut menekankan kepentingan penganjuran sukan peringkat ASEAN dalam membina jaringan rakyat ke rakyat (people-to-people ties) serta memupuk nilai-nilai kesukanan, persefahaman dan perpaduan yang menjadi teras kerjasama ASEAN.

Sebagai kejohanan golf wanita amatur paling berprestij di Malaysia, Malaysian Ladies Amateur Open terus membuktikan peranannya sebagai platform pembangunan bakat dan pendedahan antarabangsa untuk pemain muda, khususnya dari negara-negara ASEAN yang kini semakin menyerlah di arena golf serantau.