PEMINAT bola sepak Asia di Malaysia terus menerima berita positif apabila Astro sah mengekalkan hak penyiaran pertandingan utama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas kerjasama kedua-dua pihak dilanjutkan sehingga musim 2028/29.
Perkembangan itu diumumkan AFC menerusi kenyataan rasmi yang mengesahkan Astro kekal sebagai rakan media rasmi badan induk bola sepak Asia berkenaan.
Perjanjian baharu ini membolehkan Astro terus menyiarkan pelbagai kejohanan utama AFC merangkumi pertandingan kategori lelaki, wanita dan remaja sepanjang tempoh kerjasama tersebut.
Antara kejohanan utama yang bakal terus disiarkan termasuk Piala Asia 2027, kelayakan Olimpik wanita zon Asia bagi Sukan Olimpik 2028 serta beberapa lagi saingan utama di bawah kendalian AFC.
Astro juga mengekalkan hak penyiaran bagi pertandingan kelab paling berprestij Asia seperti Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Liga Juara-Juara Wanita AFC (ACLW).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John menyifatkan kerjasama berterusan ini sebagai langkah penting dalam memperluaskan capaian bola sepak Asia kepada penyokong di Malaysia.
Menurut beliau, Astro memainkan peranan besar dalam membawa aksi bola sepak Asia lebih dekat kepada penonton menerusi pengalaman tontonan merentas pelbagai platform.
Berita ini pastinya menggembirakan peminat bola sepak tempatan, khususnya penyokong kelab Malaysia yang akan beraksi di pentas Asia musim depan, dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bersaing dalam ACLE manakala Kuching City FC mewakili negara dalam ACL2.