PEMINAT bola sepak tempatan bakal disajikan dengan aksi bertaraf antarabangsa apabila gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC, dijadual turun menentang juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pramusim pada 9 Ogos ini.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu dijangka menjadi antara acara bola sepak terbesar di Malaysia tahun ini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Chelsea yang kini memasuki era baharu di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso.

Aksi ini bukan sahaja menemukan dua kelab juara, malah menjadi peluang istimewa buat penyokong tempatan menyaksikan secara langsung barisan bintang The Blues beraksi di bumi Johor.

Bagi Chelsea, kunjungan ke Malaysia dilihat sebagai peluang terbaik untuk mendekatkan kelab itu dengan penyokong mereka di rantau Asia Tenggara yang sememangnya memiliki kelompok peminat yang besar dan setia.

Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea FC, Pete Nuttall berkata, pihaknya teruja untuk kembali beraksi di hadapan penyokong Malaysia dalam suasana yang dijangka cukup luar biasa.

Menurutnya, sokongan peminat Chelsea di Malaysia dan Asia Tenggara sentiasa luar biasa, sekali gus menjadikan perlawanan ini cukup bermakna buat kelab itu.

Dalam masa sama, perlawanan ini turut menjadi pentas penting buat JDT yang terus mengukuhkan status sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia selepas menjuarai Liga Super selama 12 musim berturut-turut.

Beraksi di laman sendiri, Harimau Selatan pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan tentangan sengit kepada salah satu kelab paling berjaya di Eropah.

Dengan keterujaan yang semakin memuncak, tiket perlawanan kini mula mendapat perhatian ramai dengan harga bermula RM154 hingga RM1,254 bagi kategori VIP, manakala jualan tiket early bird akan berakhir pada 30 Jun ini.

Tiket boleh dibeli menerusi Tickethotline dan para penyokong disaran untuk membeli awal tiket-tiket tersebut.