ATLET pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, terus mencipta sejarah dengan membantu pasukan Universiti Auburn memenangi acara 4×100 meter (m) lelaki di Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon, Amerika Syarikat, pada Jumaat.
Azeem bersama tiga lagi rakan sepasukan, Kanyinsola Ajayi, Dario Matau, dan Makanakishe Charamba, berjaya mencatatkan masa 38.03 saat (s), sekali gus melepasi catatan masa terbaik musim mereka sebelum ini iaitu 38.38s ketika saringan pada Khamis.
Kehebatan pasukan Universiti Auburn menonjol apabila mereka menewaskan Universiti Louisiana State (LSU) yang memenangi perak dengan catatan masa 38.21s. Tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Houston dengan catatan 38.25s.
NATIONAL CHAMPIONS! #WarEagle x @AuburnTFXC pic.twitter.com/BbqvKXAfdy
— Auburn Tigers (@AuburnTigers) June 8, 2024
Azeem, yang merupakan pemegang rekod kebangsaan untuk acara 100m dengan catatan 10.09s, terus mempamerkan prestasi cemerlang. Beliau mencatatkan masa terbaik peribadi musim ini iaitu 10.24s ketika menyertai Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 ini dijadualkan menyertai beberapa kejohanan berturut-turut selepas ini.
Anak kelahiran Perak ini akan memulakan aksinya di Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun, diikuti dengan Terbuka Kazakhstan pada 23 dan 24 Jun, dan akhirnya akan beraksi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2 hingga 5 Julai.
Dengan kejayaan ini, Azeem tidak hanya mengharumkan nama universiti tetapi juga Malaysia di persada antarabangsa. Prestasi konsistennya dalam kejohanan-kejohanan besar terus membuktikan bahawa beliau adalah antara atlet pecut terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara ini.