PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad nyata gembira kerana kembali beraksi selama 90 minit dalam aksi kompetitif dan berjaya membantu pasukan muncul pemenang ketika aksi ujian pramusim menentang Penang FC 2.

Syafiq turut mahu menggunakan aksi pramusim ini untuk membina semula tahap kecergasan dan dia berjaya menyumbang satu gol yang nyata penting untuk kepuasan peribadinya sebagai penyerang utama tempatan buat Sang Kenari.

Dia yang kembali ke Kedah atas status pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas mendapat perhatian dari para penyokong yang masih merindui kelibat pemain itu dan kehadirannya seakan memberikan sinar harapan buat para penyokong Hijau Kuning.

Syafiq cuba rebut tempat dalam kesebelasan utama Kedah

“Pertama sekali syukur sebab sudah lama tidak bermain perlawanan kompetitif walaupun sekadar aksi ujian dan saya gembira kerana berjaya bantu pasukan capai kemenangan. Gol yang saya jaringkan penting untuk peribadi tetapi ia lebih bermakna untuk bantu pasukan.

“Setakat tiga minggu berlatih, kecergasan saya belum mencapai tahap optimum jadi perlawanan pramusim ini penting bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk semua pemain dapatkan kecergasan masing-masing,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus perlawanan.

Pemain berusia 29 tahun itu juga yakin dia tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pemain dalam skuad kerana percaya dengan kolebolehan dan sikap profesional yang ada pada diri masing-masing.

Syafiq Ahmad berjaya menjaringkan gol setelah kembali ke Alor Star

“Pembentukan pasukan musim ini dapat dilihat dengan pemain tempatan sama ada yang baru atau lama adalah barisan yang terbaik dan saya juga tidak ada masalah untuk bentuk keserasian dengan mereka serta pemain import baharu kerana masing-masing faham tugasan yang diberikan oleh jurulatih,” jelasnya.

Kedah bakal menghadapi kejohanan empat penjuru di Terengganu selepas Aidilfitri dan Syafiq sudah tentu akan menggunakan pentas ini untuk membuktikan dia masih berbisa dan merebut tempat dalam kesebelasan utama.