SEORANG bapa tidak pernah menganggap anak istimewanya sebagai halangan, sebaliknya sebagai semangat untuk mencipta sejarah apabila menamatkan larian maraton penuh sejauh 42km sambil menolak stroller anaknya di IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025, semalam.

Nur Hazim Hizad  Ma’zman, 38, membuktikan bahawa kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah tiada batas apabila berjaya bergelar individu pertama di Malaysia menamatkan maraton penuh bersama anak Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai “Individu Pertama Menamatkan Maraton Penuh Bersama Anak OKU dalam Stroller Tandem.”

Anaknya, Nur Alisha Humairah, 9 tahun, yang menghidap komplikasi jantung, sindrom 18P- serta autisme, tidak menunjukkan sebarang masalah besar sepanjang acara. Malah menurut Hazim, Alisha kelihatan selesa dan gembira sepanjang larian, terutama apabila merasa angin menyapa wajahnya satu bentuk terapi yang sangat bermakna buat kanak-kanak sepertinya.

Norhazim Izzat Md Azman dan Nurhani Amirah Idris bersama anak sulung mereka, Nur Alisya Humaira selepas pasangan ayah dan anak berjaya tamatkan 42KM maraton.

“Bila sampai 30km, badan saya mula rasa sakit, tapi saya tetap teruskan ikut strategi. Kalau naik bukit saya jalan laju, bila turun saya kekalkan momentum. Syukur, Alisha tidur lena dan hanya bangun sekitar 7.30 pagi. Bila dia buka mata, saya berhenti kejap bagi susu, dan lepas dia kenyang, saya teruskan larian,” kongsi Hazim yang sebelum ini sudah biasa membawa Alisha menyertai separuh maraton.

Kejayaan luar biasa ini bukanlah usaha solo. Hazim tidak lupa berterima kasih kepada isterinya, Nur Hani Amirah, 35, yang sentiasa menjadi tulang belakang dan pengurus utama dalam keluarga mereka. Bersama-sama mereka menjadikan aktiviti larian hujung minggu sebagai rutin buat Alisha — yang kini sudah tahu dan teruja setiap kali mereka bersiap untuk acara larian.

“Norhazim Izzat Md Azman menghadiahkan ciuman kasih buat anaknya, Nur Alisya Humaira sejurus tamat larian 42KM — detik manis yang dikongsi bersama isteri tercinta, Nurhani Amirah Idris.”

“Saya bukan nak tunjuk saya kuat. Tapi saya nak tunjuk yang kita sebagai ibu bapa kepada anak OKU juga mampu. Jangan sorokkan anak di rumah. Kita bawa mereka keluar, kita raikan mereka, kita berjuang untuk mereka.”

Dengan pencapaian ini, Hazim bukan sahaja mengukir namanya dalam Malaysia Book of Records, tetapi lebih penting, telah menyentuh hati ribuan rakyat Malaysia dengan mesej penuh harapan, cinta dan kekuatan — bahawa di sebalik keterbatasan, tersimpan satu dunia penuh potensi dan keindahan.