KEINGINAN terlalu tinggi untuk membuktikan kemampuan kepada semua, menjadi punca mengapa Justin Hoh dan K Letshanaa gagal menyerlah di Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada baru-baru ini.

Ketua jurulatih perseorangan, K Yogendran berkata, kedua-dua pemain muda itu menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh tetapi tekanan dalaman menjejaskan kestabilan emosi mereka ketika bertanding.

Justin Hoh juga baru kembali dari kecederaan dan tidak boleh terburu-buru menghasilkankeputusan baik.

“Mereka bekerja keras, tapi bila terlalu nak buktikan sesuatu kepada semua orang, emosi jadi tak stabil hingga menyekat potensi diri,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurutnya, Letshanaa seharusnya mendapat momentum selepas menewaskan bekas juara dunia Nozomi Okuhara, bertukar sebaliknya gara-gara terlalu ghairah mahukan kemenangan: “Selepas dia kalahkan pemain ternama, dia terlalu nak menang dan tunjukkan kemampuan, itu yang menambah tekanan.”

K Letshanaa perlu cepat matang menguruskan emosi dalam gelanggang pertandingan.

Yogendran menjelaskan kemahiran dan teknik boleh diperbaiki dalam latihan, tetapi kawalan emosi hanya akan datang dengan masa dan kematangan.

“Sekarang mereka baru 21 tahun, jadi ini fasa pembelajaran untuk tahu bagaimana kawal tekanan bila lawan pemain elit,” katanya lagi.

Justin dan Letshanaa dijadualkan kembali ke gelanggang pada Terbuka Macau yang bermula 29 Julai ini sebagai pentas kebangkitan.