KERAJAAN Johor menghadirkan hala tuju lebih garang menerusi Belanjawan Johor 2026 apabila 15 inisiatif sukan berprestasi tinggi diperkasa demi melahirkan juara dunia dari bumi Selatan.

Johor For Gold dan Latihan Pusat Para SUKMA diperkuat dana RM7.5 juta bagi membuka laluan lebih luas kepada atlet para memecah rekod dan memecahkan stereotaip.

Kerajaan Negeri turut mempersiapkan diri sebagai tuan rumah bertaraf dunia apabila RM5.5 juta digerakkan untuk Persediaan Penganjuran serta Sekretariat Sukan SEA 2027 dan Para ASEAN 2027.

Karnival Bangsa Johor pula diangkat dengan peruntukan RM5.6 juta dijangka menjadi pentas raksasa menghimpunkan bakat, budaya dan identiti sukan rakyat negeri itu.

Inisiatif Johor Sports Ambassador dan Johor Youth Icon berjumlah RM1.69 juta bakal mencungkil ikon masa depan yang mampu menjadi suara belia di peringkat global.

Skuad bola jaring, Jewel Rising menerima suntikan RM1 juta menjadi simbol kesungguhan negeri memartabatkan bola jaring sebagai prospek pingat masa depan di pentas antarabangsa.

JDT Cycling Team yang menerima RM1 juta pula menjadi taruhan besar Johor untuk menembusi saingan pelumba elit Asia dan membuka laluan ke Kejohanan Dunia.

Keseluruhan agenda ini membuktikan Johor tidak lagi mahu sekadar mengejar, sebaliknya mahu memimpin arus ‘Sports Nation’ menjelang 2030 dengan ekosistem sukan yang moden, progresif dan menyeluruh.