PELUANG skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia B-18 bertambah cerah selepas mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan B, semalam.

Kemenangan itu juga menyusuli kejayaan sulung menewaskan Kazakhstan 4-0, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk mengesahkan slot ke kelompok empat terbaik apabila turun menentang Chinese Taipei dalam perlawanan seterusnya.

Aksi skuad hoki lelaki B-18 menentang Indonesia pada kempen Piala Asia B18 di Dazhou, China. |FOTO AHF

Ketua jurulatih, Mohd Sufian Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan anak buahnya, terutama dalam aspek penyudah yang jauh lebih kemas berbanding aksi pertama.

“Saya ingatkan pemain untuk fokus kepada peluang depan gol dan alhamdulillah, kita dapat jaringkan gol menerusi padang dan pukulan sudut penalti,” katanya.

Aksi skuad hoki lelaki B-18, Malaysia membelasah Indonesia 10-0 pada kempen Piala Asia B18 di Dazhou, China. |FOTO AHF

Menurutnya, meskipun mengetahui corak permainan bertahan yang bakal dipamerkan Indonesia, pemain negara tetap tenang dan berjaya menembusi pertahanan lawan dengan strategi yang dirancang. “Kita tak jangka menang besar, tapi pemain main dengan baik dan ikut perancangan,” katanya.

Skuad negara akan berehat hari ini, sebelum turun menentang Chinese Taipei dan Sufian menjangkakan ia bukan aksi mudah.

Sebelum ini skuad negara mengatasi Kazakhstan 4-0. |FOTO AHF

Chinese Taipei baru beraksi satu perlawanan yang menyaksikan mereka tewa 2-8 kepada Uzbelistan, pasti mahu bangkit dari kekalahan.

Skuad negara kini berada di kedudukan kedua kumpulan B, di belakang Jepun biarpun berkongsi enam mata hasil dengan enam mata daripada dua perlawanan, menerusi perbezaan jaringan.