BADMINTON Seluruh England 2026, seolah-olah tidak mengalu-alukan kehadiran beregu campuran negara, apabila juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dikejutkan pasangan ke-34 dunia Denmark, sebentar tadi.

Berdepan Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk yang dijangka mudah diatasi, bertukar sebaliknya apabila lawan bermain dengan baik sepanjang perlawanan.

Biarpun Tang Jie-Ee Wei berjaya memimpin perlawanan menerusi kemenangan 21-18 di set pertama, mereka gagal meneruskan ketahanan berterusan apabila tunduk 12-21 pada set kedua.

Pertahanan mantap gandingan muda Denmark itu ternyata menjadi senjata ampuh ketika meranapkan sisa harapan beregu keempat dunia yang terpaksa akur tersingkir dengan kekalahan 23-25 pada set penentuan.

Kekalahan dalam tempoh 62 minit itu menyaksikan pasangan negara mengekalkan prestasi edisi 2025 yang juga berakhir di pusingan pertama Seluruh England.