KEJAYAAN pertama di pentas antarabangsa menjadi pembakar semangat Chan Wen Tse untuk menembusi kelompok 50 terbaik dunia hujung tahun ini.

Wen Tse bersama gandingannya, Wee Yee Hern, mencipta sensasi apabila merangkul gelaran beregu campuran di Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa Thailand 2025, pada Ahad.

Pasangan ranking ke-144 dunia itu mempamerkan aksi berani untuk menumbangkan pilihan utama, Ratchapol Makkasasithorn-Nattamon Laisuan, sekali gus menutup peluang tuan rumah meraikan kemenangan.

Beraksi di Terminal 21 Korat, mereka hanya memerlukan 33 minit untuk merakam kemenangan straight set 22-20, 21-16, sekali gus mencatat kemenangan kedua dalam tiga pertemuan ke atas beregu nombor 64 dunia itu.

“Ini hanyalah permulaan untuk kami, dan kami akan terus bekerja keras untuk memenangi lebih banyak gelaran,” kata Wen Tse yang mahu membawa dirinya dan Yee Hern mengintai kedudukan lebih tinggi di ranking dunia.

Selepas kejayaan manis ini, fokus mereka kini terarah kepada Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 di Perak bermula Selasa ini, dengan gandingan Australia, Timotius Elbert-Sarita Suwanakuboriharn menanti di pusingan pertama.