BRAD Maloney kembali ke pangkuan bola sepak Australia selepas lapan tahun berkhidmat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2014.
Tugasan terbaharu bekas jurulatih Malaysia B-23 itu adalah dipertanggungjawabkan membimbing pasukan Australia B-17 untuk layak ke Piala Dunia B-17 FIFA 2023 dengan pusingan kelayakan bermula Oktober depan di Shepparton, Victoria.
“Sebagai produk yang membanggakan bola sepak elit Australia dan karier kejurulatihan, sentiasa menjadi matlamat saya untuk melatih pasukan kebangsaan Australia.
“Jadi saya gembira dilantik sebagai Ketua Jurulatih The Joeys,” kata Maloney.
Congratulations to Brad Maloney (Socceroo cap #437) who has today been named Head Coach of the Joeys. https://t.co/uDSsmRl0jX
— Socceroos (@Socceroos) August 4, 2022
Semasa bersama FAM, Maloney turut diangkat menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan senior Malaysia untuk beberapa kempen dan kejohanan kelayakan.
Maloney gagal membantu negara mara ke final Sukan SEA Hanoi lepas dan kalah semua aksi peringkat kumpulan kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan baru-baru ini.
Rekod terbaik pengendali berusia 50 tahun itu adalah layak ke final Piala AFF B-19 2019 tetapi tewas kepada negara kelahirannya, Australia 1-0.