Mercedes AMG Petronas’s British driver George Russell races during the qualifying session for the Sprint race ahead of the 2026 Formula 1 Grand Prix du Canada at Circuit Gilles-Villeneuve in Montreal, Canada, on May 22, 2026. (Photo by Geoff Robins / AFP)

George Russell menghadiahkan permulaan sempurna buat Mercedes-AMG Petronas Formula One Team apabila muncul pemandu terpantas dalam sesi kelayakan perlumbaan pecut Canadian Grand Prix di Litar Gilles Villeneuve.

Pemandu Britain itu berjaya meraih petak utama selepas mencatat masa terbaik sekali gus memastikan Mercedes menguasai barisan hadapan untuk perlumbaan pecut yang berlangsung hari ini.

Kedudukan kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Kimi Antonelli yang terus menampilkan prestasi konsisten sepanjang musim ini.

Keputusan tersebut menyaksikan Mercedes mencipta penguasaan satu-dua dalam sesi kelayakan sambil memberi amaran awal kepada pencabar lain menjelang aksi utama hujung minggu ini.

Sementara itu, juara dunia Lando Norris dari McLaren Formula 1 Team akan memulakan perlumbaan dari petak ketiga.

Rakan sepasukannya, Oscar Piastri pula melengkapkan kedudukan empat terbaik selepas turut mencatat masa kompetitif dalam sesi kelayakan tersebut.

Dua pemandu Scuderia Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc masing-masing akan memulakan perlumbaan dari petak kelima dan keenam.

Antonelli yang memenangi tiga Grand Prix terakhir kini terus mendahului carta kejuaraan dunia Formula Satu musim ini.

Pemandu muda Itali itu memiliki kelebihan 20 mata ke atas Russell selepas mengharungi empat pusingan perlumbaan setakat ini.

Perlumbaan pecut Grand Prix Kanada dijadual berlangsung hari ini sebelum perlumbaan utama Formula Satu diteruskan esok di Montreal.