PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak merasa tekanan menjelang perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC 2022 menentang Sogdiana Jizzakh pada Rabu dan  hanya mahu memastikan pasukannya layak ke final.

Dia juga sedar beberapa pemakn Sogdiana mampu menghadirkan ancaman tetapi dia tetap tenang dan percaya anak-anak buahnya mampu mengekang asakan tuan rumah dan layak ke final meskipun jika tidak beraksi dengan baik.

“Setakat ini kami gembira di sini. Jika dilihat dari sebelum pertandingan bermula, jangkaan kami hanyalah untuk melepasi peringkat kumpulan. Kami adalah kelab yang kecil dan bagi kami pencapaian ini sudah pun yang terbaik dan tidak mendatangkan tekanan buat kami.

Bojan Hodak

“Tekanan pastinya akan dirasai pasukan tuan rumah dan ini memberikan kelebihan buat kami kerana kami hanya perlu bermain bola sepak dengan gembira dan tanpa tekanan.

“Bola sepak Uzbekistan lebih tinggi rankingnya daripada Malaysia tetapi kedua-dua pasukan kini berada di pertengahan liga masing-masing dan bermain corak permainan yang sama terutama dari ‘set pieces’ dan juga tekanan berterusan.

“Sogdiana mempunyai dua pemain yang berbahaya iaitu Shokhruz Norkhonov dan juga Jasur Hasanov yang berusia 39 tahun tetapi bermain umpama dia berusia 19 tahun dan apa yang penting adalah bagaimana kami cuba mengekang asakan mereka dalam perlawanan esok.

“Keadaan padang juga kelihatan beralun dan ia akan menjadi salah satu sebab mungkin kami tidak dapat bermain bola dengan baik tetapi tidak perlu bermain dengan baik kerana penyokong hanya akan ingat pasukan mana yang layak ke final,” kata Hodak dalam sidang media pra perlawanan di Jizzakh.

Turut tidak merasa sebarang tekanan adalah kapten pasukan, Paulo Josue yang kini berkongsi penjaring terbanyak dengan lima gol dan dia tidak kisah siapa menjaringkan gol asalkan Kuala Lumpur City mampu layak ke final Piala AFC.

Paulo Josue

“Saya tidak kisah akan statistik itu dan saya juga tidak peduli siapa yang menjaringkan gol asalkan pasukan kami dapat layak ke final. Iya benar sekarang saya menjaringkan lebih banyak gol tetapi untuk esok asalkan kami layak ke final, siapa yang menjadi penjaring tidak lagi penting,” katanya.

Meskipun terpaksa berhadapan tempoh perjalanan yang panjang dan cuaca yang sedikit kering, Bojan mengatakan para pemain dilihat sudah mula menyesuaikan diri dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan terbesar dalam sejarah kelab itu.

“Semenjak penularan pandemik Covid-19, banyak perubahan berlaku terutama dalam jadual penerbangan sehinggakan kami terpaksa menempuh perjalanan selama 28 jam melalui Korea Selatan kerana ketiadaan penerbangan terus ke Tashkent dan ini sedikit memenatkan para pemain.

“Cuaca juga berlainan dengan keadaan yang sejuk tetapi tidak terlalu sejuk cuma ianya sedikit kering jika dibandingkan dengan cuaca di Malaysia. Kami juga bernasib baik kerana tiba lebih awal dan kini para pemain sudah biasa dengan keadaan ini dan menjelang esok, semuanya dalam keadaan yang bersedia.”

Pertemuan Kuala Lumpur City FC dan Sogdiana Jizzakh akan berlangsung di Sogdiana Sports Majmuasi yang berkapsiti 11,000 penyokong dengan pemenang akan layak ke final Piala AFC 2022 menentang pemenang final Zon Barat sama ada Al Seeb dari Oman atau Al Riffa dari Bahrain pada 22 Oktober 2022.