KEJOHANAN Lingai Challenge Jamboree 2023 yang membuka kalendar penganjuran perlumbaan berbasikal lasak (MTB) di Terengganu pada tahun ini mencipta penanda aras tersendiri setelah berjaya menarik penyertaan seramai 1,350 pelumba dari seluruh negara termasuk penyertaan dari negara Thailand dan Singapura.

Menambah prestij perlumbaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu (PLBT) turut berjaya menghimpunkan beberapa pelumba-pelumba kebangsaan dan profesional yang kini dalam persediaan ke beberapa pentas temasya sukan antarabangsa sepanjang tahun ini.

“Alhamdullilah segalanya berjalan dengan lancar walaupun keadaan cuaca buruk di mana hujan lebat tidak menentu menambah cabaran buat setiap peserta yang hadir. Penganjuran Lingai Challenge Jamboree 2023 ini juga mencipta penanda aras baharu penganjuran sukan basikal lasak MTB di negeri ini dengan jumlah penyertaan terbesar seramai 1350 pelumba termasuk menerima penyertaan daripada tiga negara iaitu Thailand dan Singapura.

“Penyertaan pelumba-pelumba bertaraf profesional seperti mana kita boleh lihat kehadiran pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi tahun lalu Zulfikri Zulkifli, bekas pelumba Terenggnu Polygon Cycling Team (TSG) Zamri Salleh dan beberapa pelumba ternama di pentas antarabangsa termasuk pelumba wanita memberi prestij pada penganjuran perlumbaan ini.

Pengarah jawatankuasa penganjuran Lingai Challenge Jamboree 2023, Ahmad Azizi Zulkifli (tengah) merangkap Pegawai Daerah Kuala Nerus.

“Tidak dinafikan dengan penyertaan-penyertaan daripada pelumba-pelumba profesional dan berkualiti ini yang mengangkat status penganjuran dan cabaran itu menjadi pentas terbaik buat pelumba-pelumba yang kini dalam persediaan ke beberapa pentas temasya sukan antara bangsa seperti Sukan SEA di Kemboja pada tahun ini,” ujar pengarah jawatankuasa penganjuran Ahmad Azizi Zulkifli merangkap Pegawai Daerah Kuala Nerus.

Perlumbaan lasak yang mempertaruhkan kayuhan sejauh 34.5 KM meredah kawasan berbukit beraltitud tinggi melibatkan 11 kategori dipertandingkan termasuk kategori E-Bike bagi jentera basikal MTB elektronik berkuasa bateri yang pertama kali diperkenalkan.

Pemenang pingat emas di pentas sukan SEA Hanoi 2022 iaitu pelumba Zulfikri Zulkifli yang mewakili pasukan Helaz Cycling Team menepati ramalan untuk merangkul juara bagi acara tumpuan iaitu kategori Lelaki Terbuka dengan catatan masa 1 jam 55 minit 36 saat untuk menafikan pelumba Abdul Halim Hasan di tempat kedua dari pasukan MIFH Cycling Group dengan catatan 1 jam 58 minit 51. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh bekas pelumba negara Mohammad Saufi Mat Senan yang mewakili pasukan Crew Nejar dengan catatan masa 2 jam 9 minit 15 saat.

Pemenang pingat emas di pentas sukan SEA Hanoi 2022 iaitu pelumba Zulfikri Zulkifli menepati ramalan untuk merangkul juara bagi acara tumpuan iaitu kategori Lelaki Terbuka dengan catatan masa 1 jam 55 minit 36 saat.

“Alhamdullilah di atas kemenangan hari ini, ianya satu perlumbaan sengit..betul-betul sengit yang saya tidak sangka akan menerima cabaran dari beberapa pelumba-pelumba ternama malah ada di kalangan pelumba amatur sendiri mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing.

Ianya satu pendedahan yang terbaik buat saya untuk mengukur prestasi sebenar saya yang kini dalam persediaan untuk ke Sukan SEA di Kemboja pada Mei nanti. Melalui penganjuran perlumbaan ini sememangnya ianya satu pendedahan terbaik buat pelumba-pelumba negara yang sentiasa dahagakan untuk menyertai mana-mana perlumbaan,” kata Zulfikri Zulkifli kepada FLASH SUKAN yang ditemui sebaik sahaja menamatkan perlumbaan.

Bagi kategori Wanita Terbuka, dengan catatan masa 2 jam 55 minit 23 saat bagi tempat pertama dirangkul oleh pelumba bekas juara kebangsaan Mustika Ayuni Mustofa, menafikan pelumba Nurul Nadia di tempat kedua dengan catatan masa 3 jam 8 minit 42 saat. Manakala pelumba Nur Shamimie Suzana yang juga bekas juara kebangsaan berada di tempat ketiga dengan catatan masa 3 jam 12 minit 53 saat.

Bekas ketua jurulatih MTB negara Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti.

Pada penganjuran perlumbaan basikal lasak ini juga turut mendapat sokongan moral dengan kehadiran bekas ketua jurulatih MTB negara Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti yang telah membantu pelumba-pelumba tempatan untuk merangkul pingat emas pertama dalam sejarah penganjuran sukan SEA di Hanoi pada tahun lalu.

“Tahniah kepada penganjur kerana mampu untuk menganjurkan satu perlumbaan yang berkualiti di mana mampu untuk menarik pelumba-pelumba profesional di luar sana. Hadir saya pada hari ini untuk memberi sokongan kepada penggiat-penggiat sukan berbasikal lasak MTB ini demi untuk kemajuan pembangunan mahupun penganjuran sukan itu sendiri dan juga kepada pelumba-pelumba yang hadir.

“Komuniti sukan berbasikal lasak ini hanya kecil di negara ini di mana jika tiada sokongan-sokongan dari pelbagai pihak maka sukan ini tidak akan ke mana khususnya pelumba-pelumba itu sendiri hanya akan berada di takuk lama sahaja,” ujar Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti yang menjadi tulang belakang kepada skuad MTB negara di Sukan SEA Hanoi yang berjaya membawa pulang pingat emas.