KETUA jurulatih Tottenham Hotspur, Antonio Conte menzahirkan ucapan tahniah kepada Harry Kane setelah berjaya menjaringkan satu gol yang menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan Manchester City 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada awal pagi Isnin.

Pengendali The Lilywhites tersebut tidak dapat menghadiri perlawanan tersebut kerana dia masih dalam proses pemulihan pembedahan batu karang di Itali.

Ledakan pada separuh masa pertama oleh kapten England itu berjaya merekodkan 267 gol untuk Spurs, melepasi rekod yang dibuat Jimmy Greaves.

Menerusi satu panggilan video dari Antonio Conte, dia meluahkan keterujaannya selepas menyaksikan anak buahnya mempamerkan aksi hebat menewaskan City 1-0.

“Anda membuatkan saya bangga. Sentiasa bersama anda walaupun dari jauh. Saya sangat berbangga dengan keseluruhan pasukan.

“Dia akan menjadi seorang pemain yang sentiasa akan diingati dan dikenang sepanjang bersama Hotspur,” katanya.

Spurs kini menghuni tangga kelima liga dengan 39 mata, 11 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.