PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, percaya pendekatan latihan berbeza yang dibawa oleh ketua jurulatih perseorangan negara baharu, Kenneth Jonassen, mampu meningkatkan prestasinya menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) bulan depan.
Menurut Justin, program latihan dan kaedah Jonassen yang unik memberikan perspektif baharu kepada gaya permainannya.
Selepas dua minggu menjalani latihan bersama jurulatih dari Denmark itu, dia yakin berada di landasan tepat untuk mencabar kedudukan lebih tinggi di peringkat dunia.

Justin Hoh gembira dengan corak latihan Kenneth Jonassen.
“Dia adalah jurulatih yang berbeza, dengan program dan cara latihan yang juga berbeza. Selepas dua minggu, saya rasa corak latihan ini amat bagus untuk saya,” kata Justin selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Jonassen, menjadi watak utama di sebalik kejayaan Viktor Axelsen meraih emas Olimpik di Tokyo 2020.
Kini, beliau mula menjalankan tugasnya sebagai ketua jurulatih pada 4 Januari lalu.
Justin berharap dapat menerima ilmu dan strategi yang sama untuk melonjakkan prestasinya.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Kenneth Jonassen (kiri) sudah mula melatih pemain perseorangan lelaki negara.
“Jonassen sangat bagus dalam taktikal dan strategi permainan. Sebelum ini dia pernah melatih Axelsen, dan saya harap apa yang dia ajarkan kepada Axelsen dapat dikongsi dengan saya juga,” tambahnya.
Justin juga bertekad untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan yqng menyenaraikannya dalam skuad negara bagi menghadapi BAMTC di Qingdao, China, dari 11 hingga 16 Februari depan.
“Saya percaya dengan kemampuan pasukan walaupun dibarisi ramai pemain muda. Ini adalah peluang untuk kami buktikan keupayaan sebenar. Sama ada saya atau Leong Jun Hao yang bermain, kemenangan individu adalah kemenangan untuk pasukan,” jelas Justin, yang bakal memulakan aksi pertamanya musim ini di Thailand Masters minggu depan.
Malaysia, diundi dalam Kumpulan B, akan berdepan cabaran Indonesia, Hong Kong, dan Kazakhstan di BAMTC nanti.