PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, sah enggan sertai Program Road to Gold (RTG).
Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyatakan bahawa pemain yang pernah berada di ranking nombor 2 dunia itu, mahu bergerak secara bebas bersama pasukannya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan senarai baharu atlet Road to Gold bagi kitaran Olimpik Los Angeles 2028.
“Kami hormati keputusan beliau (Zii Jia) dan tetap mengharapkan yang terbaik untuknya,” kata Hannah dalam Sidang Media jawatankuasa RTG, di Menara KBS, Putrajaya.
Program elit itu dibentuk untuk kitaran kedua Olimpik Los Angeles 2028 dengan mengambil kira penambahbaikan kekurangan Olimpik Paris tahun lalu.
Sementara itu, Team LZJ menerusi akaun media sosial mereka mengeluarkan kenyataan rasmi, berkaitan penolakan tawaran untuk berada dalam program RTG.

Antara atlet RTG bagi kitaran Olimpik 2028.
“RTG merupakan satu program yang dikhaskan untuk barisan atlet terbaik negara, dan memandangkan Zii Jia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaannya, kami merasakan bahawa bantuan yang disediakan oleh program ini adalah lebih wajar diberikan kepada rakan-rakan atlet lain yang lebih layak pada waktu ini,” kata Team LZJ, mengenai pendirian pemain berusia 26 tahun itu.
Meskipun tidak menjadi sebahagian daripada Program RTG, Team LZJ menyatakan penghargaan terhadap peluang yang telah diberikan kepada Zii Jia.
Untuk rekod, Zii Jia pernah berada dalam Program RTG Paris 2024 bermula 7 April 2023, namun pernah menolak tawaran perbaharui kontrak pada 14 November tahun yang sama, tidak menandatangani LOC dengan alasan pasukannya tidak memerlukan sokongan tambahan dari RTG ke Paris.