TUNTUTAN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan dimuktamadkan minggu ini sekali gus menutup kemelut dana yang membabitkan Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sudah menerima permohonan rasmi daripada kedua-dua pasukan minggu lalu untuk dibincangkan di peringkat akhir.

Menurutnya, keputusan akan dibuat selepas Jawatankuasa Pemilihan mengesahkan senarai akhir atlet Kategori A yang akan ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

KP MSN, Jefri Ngadirin mengesahkan dana diminta PKBM untuk MPC dan TSG tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

“Kita akan beri bantuan, cuma jumlahnya bergantung kepada perbincangan dengan persatuan masing-masing kerana permohonan kali ini agak besar,” katanya.

Jefri menjelaskan kerajaan berdepan tanggungan besar kali ini apabila menghantar hampir 50 jenis sukan membabitkan antara 800 hingga 900 atlet.

Beliau menegaskan tidak semua tuntutan dapat dipenuhi sepenuhnya kerana peruntukan perlu diagih secara adil kepada semua sukan yang bertanding.

“Sudah tentu kita akan rundingkan dengan persatuan, insya-Allah isu ini akan selesai minggu ini,” katanya, yang mengulas desakan TSG dan MPC yang menuntut bajet tambahan RM250,000 atau enggan melepaskan pelumba ke Sukan SEA.