BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali, terus menjadi inspirasi dalam arena sukan negara apabila dilantik sebagai Duta e-Football Malaysia melalui kolaborasi bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Safee berkongsi keterujaannya masih dikenang oleh peminat bola sepak tempatan serta peluang untuk terus berbakti kepada sukan bola sepak dalam dunia maya.
“Bagi saya, ini adalah satu kolaborasi yang sangat baik dalam dunia zaman sekarang dimana kita tak mahu ketinggalan dalam dunia maya.
“Ini juga memberi inspirasi kepada mereka yang mungkin tidak boleh bermain bola sepak secara fizikal, maka dunia maya ini adalah satu platform yang terbaik.
“Bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk bola sepak Malaysia dan juga Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media rasmi FAM x e-Football, di Sofitel, Damansara, pada Selasa.
Safee turut menyentuh potensi besar e-sukan bola sepak untuk menarik lebih ramai peminat dan bakat baharu di peringkat antarabangsa untuk terus mengharumkan nama negara.
“Zaman sekarang bukan sahaja dunia realiti bola sepak yang sebenar orang boleh menunjukkan kemampuan dan mungkin ini adalah platform terbaik untuk mereka mengharumkan nama Malaysia dan mengharumkan nama keluarga,” jelasnya.
Inisiatif ini memberi nafas baharu kepada industri bola sepak negara di era digital dan menunjukkan bahawa semangat sukan tidak terbatas hanya di padang permainan.
Dengan pelantikan ini, Safee Sali bukan sahaja mengukuhkan peranannya dalam bola sepak tetapi turut membuka ruang untuk generasi baharu mencipta nama dalam arena e-Football, sekali gus meletakkan Malaysia di mata dunia.