KEJAYAAN skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia di pentas Sukan SEA kini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa negara mempunyai peluang realistik untuk memburu pingat pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus meletakkan e-sukan negara pada landasan lebih meyakinkan di peringkat Asia.

Pengasas HomeBois, Nureddy Nursal atau Daddyhood menyifatkan pencapaian emas oleh skuad wanita dan perak oleh pasukan lelaki pada edisi Sukan SEA di Bangkok sebagai kemuncak perkembangan MLBB Malaysia setakat ini, selepas melalui fasa peningkatan berperingkat sejak penampilan sulung pada 2019. Menurutnya, konsistensi prestasi yang ditunjukkan membuktikan ekosistem MLBB tempatan semakin matang dan bersedia untuk cabaran lebih besar.

“MLBB di Sukan SEA ini pada saya pencapaian terbaik setakat ini. Kita bermula dengan gangsa, kemudian perak dan kali ini emas serta perak. Peningkatan itu sangat baik untuk MLBB di Malaysia,” katanya.

Mengulas peluang di Sukan Asia, Nureddy mengakui Malaysia kini semakin hampir dengan kuasa besar seperti Filipina, namun jurang keserasian masih menjadi faktor utama yang perlu diperbaiki. Beliau menjelaskan liga tempatan yang menggunakan pemain import sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan dan kesefahaman pasukan berbanding Filipina yang sepenuhnya bergantung kepada bakat tempatan.

“Sepatutnya kita dah semakin dekat, cuma Filipina lebih kuat dari segi keserasian. Mereka tak ada pemain import, semuanya pemain tempatan. Itu yang buatkan komunikasi dan permainan mereka lebih padu,” jelasnya.

Dalam masa sama, kejayaan skuad wanita negara meraih emas disifatkan sebagai kejutan manis yang membuka mata banyak pihak terhadap potensi sebenar MLBB Malaysia di pentas antarabangsa. Kemenangan ke atas Indonesia sebelum menewaskan Filipina di pentas final dianggap bukti kemampuan pasukan untuk bersaing dengan yang terbaik di Asia.

“Pasukan wanita memang mengejutkan. Mengalahkan Indonesia dan bawa balik emas itu satu kejayaan yang sangat padu,” katanya.

Nureddy turut menegaskan keserasian, komunikasi dan kefahaman taktikal menjadi elemen paling kritikal dalam MLBB, terutama apabila menyasarkan kejayaan di temasya besar seperti Sukan Asia yang bakal mempertandingkan pelbagai judul e-sukan berprestij.

Skuad MLBB wanita Malaysia yang dianggotai Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi sebelum ini mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas buat negara di Bangkok, sekali gus menyuntik keyakinan bahawa Malaysia bukan sekadar peserta, tetapi pencabar serius di Sukan Asia 2026.