PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Daniel Giménez Alcañiz sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/27.

Pelantikan pemegang Lesen UEFA Pro itu dilihat sebagai langkah penting kelab dalam memperkukuhkan struktur pasukan, selari dengan perancangan jangka panjang untuk membina skuad yang lebih kompetitif.

Daniel hadir ke Negeri Sembilan dengan pengalaman luas dalam bola sepak profesional selepas lebih sedekad menimba pengalaman di Eropah, Asia dan Afrika.

Sepanjang karier kejurulatihannya, beliau pernah mengendalikan beberapa kelab dan pasukan termasuk Al Ahed FC, Al Nejmeh SC, Al Hilal, Modern Sport FC, Akhaa Al Ahly FC, skuad Bawah 17 Tahun kebangsaan Lubnan serta Al-Nasr Club dalam Liga Profesional Oman.

Antara pencapaian terbaik Daniel adalah membantu Al Ahed FC menjuarai Piala AFC 2019 selain membawa Al Hilal muncul juara Liga Perdana Sudan.

Beliau turut hadir ke Negeri Sembilan dengan reputasi cemerlang selepas membawa Al-Nasr menamatkan saingan Liga Profesional Oman di tangga ketiga musim lalu sekali gus melayakkan kelab itu ke saingan Arab Club Champions Cup.

Pengerusi Negeri Sembilan FC, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata pihak kelab yakin Daniel merupakan individu paling sesuai untuk menerajui projek pembangunan bola sepak yang sedang dirancang.

Menurutnya, pengalaman luas Daniel di pelbagai negara serta falsafah bola sepak moden yang dibawa menjadi faktor utama dalam pemilihan tersebut.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Daniel Giménez Alcañiz ke Negeri Sembilan FC. Selepas melalui proses penilaian yang teliti, pihak kelab percaya beliau adalah calon terbaik untuk menerajui projek bola sepak yang sedang kami bangunkan.

“Kami mahu membina sebuah pasukan yang berani bermain bola sepak moden, memiliki organisasi taktikal yang baik dan pada masa sama memberi peluang kepada pemain muda untuk berkembang,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan Daniel dalam membangunkan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain turut menjadi aset penting buat masa depan Negeri Sembilan FC.

Pelantikan ini juga selaras dengan DNA kelab yang mahu menekankan pembangunan pemain muda, disiplin taktikal serta pembentukan pasukan mampan untuk jangka masa panjang.

Daniel dijangka memulakan tugasnya dalam masa terdekat bersama barisan kejurulatihan yang akan diumumkan kelak, dengan harapan mampu membawa Negeri Sembilan FC ke tahap yang lebih tinggi pada musim baharu.