LEBIH 1,000 alumni, pelajar dan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) kembali berkumpul di kampus apabila menyertai FBM Homecoming Run 2026 yang berlangsung serentak di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, Johor dan Sarawak, hari ini.

Program anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) UiTM itu bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah menjadi medium memperkukuh hubungan alumni dengan alma mater sempena sambutan ulang tahun ke-70 fakulti.

Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Profesor Ts. Dr. Shafinar Haji Ismail berkata penganjuran sulung itu adalah antara siri program menjelang acara kemuncak sambutan ulang tahun fakulti pada 24 Oktober depan.

 Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Profesor Ts. Dr. Shafinar Haji Ismail

“Program larian ini adalah salah satu daripada siri program yang kita anjurkan sebelum acara kemuncak nanti. Sebelum ini kita sudah mengadakan kejohanan pickleball dan kali ini kita memilih larian bagi menarik lebih ramai alumni kembali ke kampus. Setiap alumni mempunyai minat yang berbeza, jadi aktiviti sukan seperti ini menjadi medium terbaik untuk menghimpunkan mereka semula,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 500 peserta menyertai acara di Kampus Puncak Alam, manakala keseluruhan penyertaan di tiga kampus mencecah hampir 1,000 orang, sekali gus membuktikan sambutan positif daripada warga fakulti dan alumni.

FBM Homecoming Run 2026 menawarkan kategori Larian Santai 5 kilometer dan Larian Kompetitif 8 kilometer, selain dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk zumba, saringan kesihatan, mini karnival, cabutan bertuah dan pameran.