PASANGAN badminton beregu campuran negara dijangka membawa pulang pingat dari bumi Perancis apabila kempen Kejohanan Duia berlangsung, Ogos depan.
Bekas ratu beregu campuran negara, Goh Liu Ying optimis dengan kemampuan pemain negara meskipun tidak meletakkan harapan menggunung untuk merangkul emas.
“Sejujurnya, kalau nak dapat medal di Kejohanan Dunia, kita memang ada peluang. Tak semestinya emas, tapi dapat pingat pun satu kejayaan,” katanya kepada Flash Sukan.
Malaysia kini dibarisi dua pasangan dalam kelompok 10 terbaik dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (ranking ke-4) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (ranking ke-6) selain gandingan muda, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang kini di tangga ke-13 dunia.

Goh Liu Ying yakin gandingan negara cukup berpengalaman untuk mengatasi cabaran di Paris nanti.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata, apa yang penting buat pasangan utama negara adalah komunikasi dan pemahaman sesama sendiri, apatah lagi selepas insiden ‘perang dingin’ kecil yang melanda Tang Jie dan Ee Wei baru-baru ini.
“Saya rasa ini adalah proses yang bagus. Kita kena gagal dulu sebelum berjaya. Kalau mereka boleh melepasi fasa ini dan saling memahami, itu petanda yang baik,” ujar bekas pemain berusia 35 tahun itu.
“Semua pair mesti pernah bergaduh. Tapi yang penting, ada matlamat sama untuk berjaya. Kalau ada komunikasi dan kerja keras, semua masalah boleh diatasi,” katanya mengakui pernah melalui fasa pergaduhan bersama Chan Peng Soon pada zaman kegemilangan mereka.
Kejohanan Dunia 2024 bakal berlangsung di Paris dari 25 hingga 31 Ogos depan dan menjadi pentas penting sebelum temasya Olimpik 2028 dengan Malaysia pastinya mengintai peluang untuk kembali menyinar dalam acara beregu campuran.