SELEPAS kekalahan mengejut kepada Filipina, jurulatih Malaysia Bawah 23 (B-23), Nafuzi Zain memberi amaran tegas bahawa tiada ruang untuk kesilapan lagi ketika bertemu Brunei dalam aksi hidup mati Piala Mandiri ASEAN 2025 esok.

Meskipun Brunei baru sahaja dibelasah 0-8 oleh Indonesia, Nafuzi enggan membiarkan skor besar itu mengaburi fokus pasukannya. Baginya, kekalahan kepada Filipina menjadi bukti bahawa tiada lawan yang boleh dipandang rendah malah menegaskan keperluan untuk mengubah sikap pemain yang sebelum ini terlalu leka.

“Lepas lawan Filipina, pemain agak kecewa. Kita tak jangka kalah, tapi ini bola sepak. Semalam kita buat post-mortem dengan pemain. Mereka tunjuk rasa menyesal dan janji nak bangkit lawan Brunei,” katanya.

Namun Nafuzi juga menegur sikap sesetengah pemain yang gagal memanfaatkan peluang dalam perlawanan lalu terutama apabila berdepan lawan yang ‘di atas kertas’ lebih lemah.

“Kita tahu Brunei kalah besar, tapi yang penting sekarang ialah fokus kepada persiapan pasukan. Lawan pasukan lemah pun kita tetap kalah, jadi ini bukan masa untuk rasa selesa. Kita perlu perbaiki kelemahan, terutama bab menjaringkan gol,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan barisan pertahanan supaya lebih fokus, kerana setiap kesilapan sekecil mana pun boleh mengundang padah.

Kenyataan berani Nafuzi jelas menunjukkan tekanan yang sedang dihadapi kem Harimau Muda, terutama apabila mereka kini berada di tangga ketiga kumpulan tanpa sebarang mata. Hanya kemenangan ke atas Brunei mampu menghidupkan semula peluang untuk mara ke separuh akhir sebelum menentang tuan rumah Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan.

Kini semuanya bergantung kepada sejauh mana pasukan ini mampu menepati janji untuk bangkit. Jika masih lena dibuai kesilapan lalu, Harimau Muda mungkin akan pulang awal dengan penuh penyesalan.