PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar memberi jaminan Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur City (KL City FC) tidak lagi berdepan isu gaji tertunggak untuk saingan Liga M musim 2025/2026.
“Untuk KL City Insya-Allah, dana, tajaan banyak yang dah masuk. Saya berterima kasih kepada penanung KLFA, Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil yang banyak membantu saya menjelang musim baru.
“Ya daripada segi bayaran gaji ia stabil, sejak daripada pengurusan baru apabila saya menjadi Presiden (KLFA), tiada lagi masalah tunggakan dan segala-galanya kini berjalan lancer,” kata Syed Yazid yang juga Pengerusi KL City FC ketika majlis makan malam Jubli Emas 50 Tahun KLFA di Bangsar South City semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Syed Yazid Syed Omar yakin KL City mampu bersaing dengan baik dan bebas isu gaji pemain serta pegawai.

Ketika berucap di majlis tersebut,Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada KLFA bagi mengukuhkan lagi persatuan tersebut selepas ini.
Syed Yazid menyuarakan penghargaan terhadap peruntukan daripada Perdana Menteri itu dan menegaskan, segala penggunaan dana itu akan dibincang dulu di Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KLFA terlebih dulu.
“Ya, saya tidak menjangka dapat sumbangan ini daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita bersyukur, alhamdulilah. Mengenai penggunaan dana ini.. kita akan bincang dulu di mesyuarat exco KLFA,” tambah Syed Yazid.
Dengan barisan pemain yang kini lebih mantap dan struktur kewangan yang lebih kukuh melontar keyakinan buat Syed Yazid meletakkan sasaran tiga tempat teratas Liga Super musim ini bagi memastikan KL City ke Liga Juara-Juara AFC II (ACLII) untuk musim 2026/2027.
Jika dilihat kepada barisan pemain kebangsaan seperti Safawi Rasid, Paulo Josue dan juga Endrick Dos Santos yang turut bakal menguatkan barisan, pasukan, skuad kendalian Risto Vidakovic musim ini jelas sebuah pasukan yang wajar diberi perhatian serius pencabar lain.