AZIMAT kata-kata dua jurulatih menjadi pegangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sehingga berjaya meruntuhkan “Tembok Besar China” dan lolos ke final pertama kejohanan bertaraf Jelajah Dunia, tahun ini.

Mengatasi pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di bumi China, bukannya tugas mudah, apa lagi perlawanan itu menuntut kecergasan fizikal dan kekuatan mental.

“Mental penat tapi jurulatih Nova Widianto dan Rexy Mainaky tidak minta kemenangan, sebaliknya hanya mahu melihat karektor kami di gelanggang,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), mengulas mengenai kemenangan 22-24, 21-19, 21-17 ke atas Yan Zhe-Dong Ping di separuh akhir Masters China, hari ini.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan konsistensi dalam permainan.

Sejak menang ke atas lawan sama di Olimpik Paris, empat pertemuan selepas itu mereka tewas, menjadikan perlawanan separuh akhir cukup berat dihadapi secara mental.

Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berdepan satu lagi lawan sukar, gandingan nombor empat dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang mengejutkan pilihan utama kejohanan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 22-20.

“Sejujurnya saya tak dapat fikirkan perkara lain sekarang kerana mental amat kepenatan,” tambah Tang Jie.

Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan negara yang menghuni ranking ketiga dunia, tewas tiga kali daripada empat pertemuan dengan Dechapol-Supissara manakala kemenangan tunggal diperoleh pada Terbuka India, Januari lalu.