KEM Harimau Malaya menerima tamparan awal menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos apabila dua penjaga gol, Haziq Nadzli dan Azri Ghani terpaksa digugurkan daripada skuad kerana masalah kesihatan.

Perkara itu disahkan oleh pasukan Malaysia National Team (Malaysia NT) menerusi satu kenyataan di media sosial rasmi mereka, sekali gus mengesahkan penjaga gol Kuching City dan Negeri Sembilan itu tidak dapat meneruskan latihan pusat bersama skuad negara.

Sebagai ganti, dua muka baharu dipanggil menyertai kem kali ini iaitu Suhaimi Husin dari Terengganu FC dan Sikh Izhan Nazrel dari Selangor FC. Kedua-dua mereka dijangka segera menyertai kem latihan bagi melengkapkan senarai penjaga gol yang akan dibawa ke Vientiane.

“Sikh Izhan dan Suhaimi Husin dipanggil menyertai kem bagi menggantikan Azri Ghani dan Haziq Nadzli yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan,” jelas kenyataan Malaysia NT.

Situasi ini sedikit sebanyak mengubah perancangan awal ketua jurulatih, Peter Clamovski, yang kini perlu menilai semula kombinasi benteng pertahanan dan pilihan penjaga gol utama bagi aksi penting menentang Laos pada 9 Oktober nanti.

Skuad kebangsaan dijadual berlepas ke Vientiane pada 6 Oktober untuk menjalani latihan selama tiga hari di sana sebagai persediaan menghadapi aksi pertama di New Laos National Stadium, sebelum pulang ke Kuala Lumpur bagi persiapan aksi timbal balik pada 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pertukaran dua penjaga gol ini dijangka memberi ruang kepada Suhaimi dan Sikh Izhan untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa, apatah lagi dengan reputasi cemerlang yang ditampilkan bersama kelab masing-masing musim ini.

Biarpun berdepan ujian dari segi kecederaan dan penggantungan beberapa tonggak utama, semangat dalam kem Harimau Malaya dilaporkan kekal tinggi dengan misi membawa pulang kemenangan dari bumi Laos.